Mahkamah bakal putuskan kes Annuar Musa saman FAM 5 April
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam dijangka akan membuat keputusan kes Tan Sri Annuar Musa saman FAM esok selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang digantung, telah memfailkan saman pemula terhadap FAM berhubung kes penggantungannya.
Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin melalui tetuan Jaswant & Kamaruddin.
Dalam saman tersebut, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad defendan kedua.
Annuar berkata, tindakan itu dibuat bukan untuk mencabar hukuman telah dijatuhkan ke atasnya, tetapi ia berkaitan dengan perlanggaran undang-undang yang dibuat dalam menjatuhkan hukuman tersebut.
Dalam pernyataan tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat jahat).
Beliau berkata, Azzudin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri yang akan mewakili beliau.
Sedangkan katanya Azzudin tidak sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.
Pada 25 Januari 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Tan Sri Annuar Musa berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar berkata hakim menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang dibuat oleh anak guamnya mempunyai asas.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Februari 2013 untuk pendengaran kes itu.
Namun pada 25 Februari di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pihak defendan memohon penangguhan atas alasan belum memfailkan hujahan bertulis.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan kes ditangguhkan sehingga 26 Mac lalu dan pada tarikh sama mahkamah akan mendengar permohonan yang difailkan oleh pihak defendan itu.
Mahkamah juga memerintahkan defendan memfailkan hujahan bertulis dalam masa tiga minggu dan menetapkan 5 April (esok) untuk keputusan.
Luahan Perasaan