Seri berdepan Rangers sudah cukup buat MU ke saingan kalah mati
MANCHESTER United dalam kedudukan selesa untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila berdepan kelab Scotland, Rangers dalam saingan Kumpulan C awal pagi nanti.
Dengan penyerang Wayne Rooney tampak akan diberikan permulaan pertamanya sejak hampir dua bulan, pengurus United, Sir Alex Ferguson mungkin memilih menurunkan barisan lemah, sama seperti yang dilakukan ketika perlawanan pertama di Old Trafford, September lalu.
Bagi pemain tengahnya, Darren Fletcher, berbangsa Scotland, dia tidak sabar untuk turun ke padang berdepan kelab terkemuka negara kelahirannya itu.
Saya sungguh tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan itu, kata Fletcher. Rangers kelab besar dan ia pasti malam istimewa di Ibrox dengan suasana menakjubkan. Saya mendapat pengalaman itu ketika memanaskan bangku simpanan beberapa tahun yang lalu.
Tonggak Rangers, Kenny Miller pula berkata kelabnya harus mengalahkan Manchester United seandainya mahu berpeluang mara ke pusingan kalah mati.
The Gers menunjukkan peningkatan persembahan mereka dalam pertandingan elit Eropah musim ini dengan mengumpul lima mata daripada empat perlawanan sementara bintang Old Trafford hanya memerlukan satu lagi mata untuk layak ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, kekalahan kepada Valencia pada perlawanan terdahulu bermakna pasukan itu perlu mendapatkan tiga mata penuh ketika menentang gergasi England itu bagi membolehkan Rangers layak ke pusingan seterusnya.
“Formasi dan struktur kami semasa di Old Trafford adalah sangat hebat. Kami perlu melakukannya berkali-kali,” kata Miller, yang menjaringkan hatrik semasa menentang Kilmarnock, Sabtu lalu dan mengumpul 18 jaringan pada musim ini.
”Kami banyak memerhati corak perlawanan mereka sebagai panduan untuk pasukan ini apabila menghadapi mereka.
”Pada perlawanan kali ini, saya mahu mencipta lebih banyak peluang gol dengan melakukan serangan, kerana beraksi di tempat sendiri bakal memberikan kelebihan kepada kami.
”Kami tidak kisah sama ada United mahu menurunkan seberapa ramai pemain bintang mereka, ia tidak membuatkan kami lemah semangat.
”Sungguhpun kami hanya sebuah pasukan kecil, itu tidak menjadi halangan untuk kami menghadapi pasukan gergasi Liga Perdana England itu,” jelas Miller lagi.
Related posts
- Prebiu Liverpool vs Arsenal
- Chelsea dijangka mudah atasi Wigan
- Suku akhir: Kelebihan awal pasukan tuan rumah
- Prebiu penutup pusingan pertama Liga Super 2011
- Liga Juara: Rangers mahu sekat MU
- Pertemuan Selangor-Kelantan ibarat final
- Prebiu Manchester United vs Newcastle
- Mourinho kembali ke Milan
- Spartak perlu elak rasa gentar berdepan chelsea
- Kelantan, Terengganu congak aksi final
Main topics: Liga Juara Eropah
Sub topics: Liga Juara Eropah, Manchester United, Manchester United vs Rangers, Prebiu, Rangers