Kelantan, Terengganu congak aksi final
MALAM ini adalah detik penentuan untuk memilih pasukan manakah bakal beraksi di pentas final Piala FA yang dijadualkan berlangsung 11 Jun ini di Stadium Shah Alam.
Di atas kertas, pasukan Pantai Timur Kelantan dan Terengganu menjadi pilihan utama mara ke perlawanan akhir berikutan menang ke atas lawan masing-masing di tempat lawan pada separuh akhir pertama.
Jumaat lalu, Kelantan membelasah Selangor 5-1 di Shah Alam, manakala Terengganu melakukan kebangkitan dramatik untuk menumbangkan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur.
Namun, dalam dunia bola sepak perkara dianggap mustahil boleh berlaku.
Bagaimanapun, peminat setia The Red Warriors, Red Giants, Sang Penyu dan Tok Gajah tetap berdebar menanti keputusan penuh malam ini.
KELANTAN
SEKALIPUN mempunyai kelebihan empat gol ke atas Selangor, Kelantan tetap tidak memandang mudah cabaran anak buah K Devan apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan terakhir dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Ketua Jurulatih The Red Warriors, Datuk M Karathu mengingatkan pemainnya supaya tidak leka dan dibuai mimpi selepas kejayaan besar menumbangkan Selangor 5-1 di Shah Alam Jumaat lalu, sebaliknya terus mempamerkan aksi berbisa di hadapan penyokong mereka sendiri.
“Kita masih ada masa 90 minit lagi. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan saya tidak mahu memandang mudah pertemuan ini. Sekali pun ramai mengatakan Kelantan sudah sebelah kaki ke perlawanan akhir tetapi saya tidak mahu memikirkan sangat perkara itu.
SELANGOR
“SAYA tidak tahu hendak cakap apa. Pemain perlu tanya diri mereka sendiri. Fikirlah sendiri.
Begitu luahan kata hati Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Hamidin Mohd Amin yang masih kecewa dengan kekalahan memalukan Selangor kepada Kelantan 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.
Malam ini, Red Giants juara lima kali Piala FA berhadapan misi mustahil untuk menewaskan Kelantan pasukan yang belum pernah menjulang trofi tersebut sejak diperkenalkan pada 1990.
“Untuk menang perlawanan ini (separuh akhir kedua) agak tipis. Tetapi pemain perlu tunjukkan kebangkitan mereka di tempat lawan nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Skuad kendalian K Devan bakal bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini berbekalkan satu gol yang diperoleh ketika tumbang pada pertembungan separuh akhir pertama di laman sendiri untuk mencari slot ke peringkat akhir.
TERENGGANU
STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan menjadi saksi sama ada Terengganu mampu mara ke pentas akhir erlawanan Piala FA atau sebaliknya malam ini.
Mungkin di atas kertas, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dikatakan sudah melangkah sebelah kaki ke final selepas mengatasi Pahang 3-2 dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu, namun, di atas padang apa sahaja boleh berlaku.
Dengan berbaki 90 minit lagi perlawanan malam ini, Terengganu perlu menampilkan permainan terbaik sekali gus melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2004.
Bagaimanapun, Pengurus Pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya pemain perlu merealisasikan hasrat itu dengan mencipta kemenangan sekali lagi ke atas Pahang malam ini.
“Biarpun ‘sebelah kaki’ sudah ke final, pasukan Terengganu masih perlu berjuang habis-habisan dengan baki 90 minit malam ini sebelum mengesahkan impian itu tercapai atau sebaliknya.
“Saya yakin kemampuan dan semangat juang yang tinggi pemain dalam perlawanan sebelum ini mampu mencipta kejutan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan penyokong supaya mengawal kelakuan dan berdisiplin sepanjang perlawanan malam ini.
PAHANG
MENGAKUI laluan sukar bakal dihadapi skuad kendaliannya pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin malam ini, Dollah Salleh tetap mengharapkan kejayaan mengiringi Pahang untuk beraksi pada pentas final piala berprestij itu.
Pengendali Pahang itu berkata, kekalahan 2-3 pada separuh akhir pertama piala itu belum menutup sasaran ke final kerana perlawanan masih berbaki 90 minit.
Katanya, pemain yang diberi tanggungjawab diharap dapat memberikan persembahan terbaik jika mahu beraksi pada final.
“Inilah peluang terbaik untuk mencipta kejayaan dan kesempatan ini harus dilakukan dengan mencipta kejayaan biarpun Terengganu dilihat mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.
“Saya akui Pahang menghadapi laluan sukar memandangkan Terengganu menjaringkan tiga gol di gelanggang kami tetapi bagi Pahang, kami perlu menang 2-0 jika mahu menyamakan kedudukan, sekali gus beraksi di final,” katanya.
Menurutnya, tiada yang mustahil dalam bola sepak andai pemain menggunakan sepenuhnya peluang jaringan manakala jentera pertahanan mengekang segala asakan barisan depan Terengganu.
Luahan Perasaan