Suku akhir: Kelebihan awal pasukan tuan rumah
Pertembungan Selangor-Kelantan jadi tumpuan
MALAM ini, perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia akan berlangsung dan empat pasukan yang bergelar tuan rumah, sudah pasti mahu menggunakan sepenuhnya aksi di tempat sendiri untuk meraih tiga mata yang bakal dijadikan bekalan berharga untuk mengharungi pusingan kedua nanti.
Negeri Sembilan, Terengganu, Johor FC dan Selangor akan menanti kunjungan Perlis, Kedah, Pahang dan Kelantan di stadium keramat masing-masing sambil mencongak aksi terbaik untuk meyakinkan peminat bahawa mereka sememangnya berhak untuk merebut salah satu tiket ke perlawanan akhir nanti.
Daripada keempat-empat pertemuan itu, pertembungan Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam mungkin menjanjikan saingan yang paling sengit kerana kedua-duanya adalah juara dan naib juara Liga Super musim ini.
Selangor yang dibimbing jurulatih K Devan itu pastinya sedar bahawa Kelantan bukan mudah untuk dikekang terutama apabila aksi timbal balik di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Jumaat ini. Justeru, skuad Gergasi Merah itu tidak mempunyai pilihan selain menjaringkan sebanyak mungkin gol bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Walaupun memegang gelaran selaku Juara Liga Super, adalah tidak adil untuk melabel Selangor sebagai pasukan lebih kuat berbanding Kelantan kerana sepanjang dua pertemuan Liga Super musim ini, kedua-dua pasukan itu terikat seri - 0-0 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV pada 12 Mac dan 1-1 di Stadium Shah Alam pada 10 Julai.
Pertemuan yang tidak kurang menariknya ialah di antara Negeri Sembilan bertemu Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kerana masing-masing berjaya mencatat satu kemenangan sepanjang dua pertemuan Liga Super.
Negeri Sembilan yang juga juara Piala FA itu menewaskan Perlis 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 6 Mac dan Perlis membalas kekalahan itu dengan menundukkan Skuad Rusa 2-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar pada 3 Ogos lalu.
Pendahulu Kumpulan B, Terengganu pula berdepan naib juara Kumpulan C, Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan jika dilihat daripada perkembangan di dalam saingan peringkat kumpulan, Terengganu memiliki sedikit kelebihan berbanding skuad Kenari itu apabila menang tiga kali, seri sekali dan tewas dua kali. Kedah pula menang dua kali, seri tiga kali dan tewas sekali.
Satu-satunya pasukan bertaraf kelab yang berjaya menyelitkan diri dalam saingan suku akhir Piala Malaysia ialah Johor FC dan pendahulu Kumpulan C itu akan menanti kunjungan Pahang di Stadium JCorp.
Luahan Perasaan