Ujian bagi hadapi Singapura
PERLAWANAN persahabatan menentang Arsenal dalam Siri Jelajah, esok akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk menguji pemain penyerangnya sebelum menghadapi Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.
Rajagobal berkata, melalui perlawanan sebegini beberapa kombinasi bahagian serangan akan diketahui keserasiannya menembusi pertahanan skuad gergasi Liga Perdana England itu.
Tambahnya, perlawanan esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil juga adalah peluang terbaik buat semua pemain kebangsaan mempelajari corak permainan skuad Gunners sekali gus akan menjadi bekalan bermakna apabila berkunjung ke Singapura pada 23 Julai ini.
‘‘Saya harap semua pemain tidak gentar ketika menghadapi Arsenal walaupun kita tahu mereka ini mempunyai pemain yang hebat di setiap posisi.
‘‘Mungkin dalam perlawanan ini akan memberikan saya idea untuk mengunakan kombinasi yang lebih baik ketika menentang Singapura,’’ katanya pada sidang akhbar bersama Arsenal di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu penyerang, Safee Sali mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan, esok kerana memerlukan rehat manakala penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi.
‘‘Khairul Fahmi telah pulih dan sepatutnya diturunkan, namun saya tetap akan memberi peluang kepada semua pemain lain beraksi bersama skuad Arsenal dan Liverpool nanti.
‘‘Biarlah pemain muda yang ada dalam skuad kebangsaan belajar sesuatu daripada perlawanan ini dan saya yakin dengan keupayaan pemain kita,’’ jelas Rajagobal.
Kali terakhir skuad Gunners berkunjung ke Malaysia ialah pada tahun 1999 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-2, malah pasukan negara sebelum ini juga pernah memperoleh kemenangan 2-0 ketika melayan kunjungan Arsenal pada tahun 1975.
Luahan Perasaan