Harimau Malaya tak rela diratah kali kedua
MUNGKIN ramai peminat bola sepak tanah air masih belum melupakan episod kekalahan skuad kebangsaan ketika berdepan dengan Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
Mengimbau semula aksi pada 13 Julai itu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bagaikan belajar erti sebenar bola sepak dunia apabila tewas 0-4 hasil jaringan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky.
Barang yang lepas usahlah dikenang, Harimau Malaya kini berpeluang untuk memadam ‘luka lama’ apabila kembali berdepan The Gunners di stadium yang sama malam ini.
Namun, sejarah tidak mustahil berulang memandangkan anak-anak buah Arsene Wenger tampil dengan reputasi yang cukup tinggi.
Tambahan pula, Harimau Malaya dilihat sedikit tempang dengan kecederaan beberapa pemain utama seperti Safee Sali, Yong Kuong Yong, Ahmad Syakir Md. Ali, Khairul Fahmi Che Mat dan juga K. Gurusamy selain terpaksa beraksi ketika Ramadan.
Rajagobal begitupun enggan ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang, selain optimis anak-anak buahnya mampu tampil dengan aksi yang lebih mencabar kali ini.
Biarpun enggan menjanjikan keajaiban malam ini rentetan hakikat perbezaan kedua-dua pasukan bagaikan ‘langit dan bumi’, Rajagobal yakin barisan pemainnya bakal meraih pengalaman berguna sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF pada November depan.
“Bohong jika saya katakan ketiadaan beberapa pemain utama seperti Safee dan Khairul Fahmi tidak dirasai.
“Jadi, saya cabar pemain-pemain lain membuktikan keupayaan masing-masing supaya mereka juga berhak beraksi dalam kesebelasan utama,” kata Rajagobal.
Ketika ditanya adakah beliau bakal mempertaruhkan kredibiliti peledak berbisa Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman malam ini, lantaran Safee dan Ahmad Syakir masih belum pasti diturunkan gara-gara kecederaan, Rajagobal memberitahu: “Masih terlalu awal untuk mengenal pasti kesebelasan utama.
“Saya tidak mahu fokus kepada seseorang pemain sahaja, sebaliknya memberi tumpuan menyeluruh kepada pasu- kan termasuk aspek kecergasan pemain.”
Mengulas lanjut kata Rajagobal, beliau menghormati reputasi The Gunners meskipun tanpa kehadiran Robin van Persie, Lucas Podolski dan Olivier Giroud kali ini.
“Kita bermain di padang yang sama serta menggunakan bola yang sama. Jadi, tidak ada alasan untuk kita takut dengan Arsenal. Hormat boleh, gentar tidak sama sekali,” katanya. — Kosmo
July 24, 2012 - 6:13 pm
sembang je lbh
July 24, 2012 - 10:43 pm
1st half terkini
malaysia 1 - arsenal 0
July 25, 2012 - 12:18 am
FT
malaysia 1-2 arsengal