Brazil nyaris dapat malu

Stadium Maracana Brazil

Selepas nyaris mendapat malu kerana pembatalan, Stadium Maracana di Rio de Janeiro akhirnya menjadi tuan rumah pada perlawanan rasminya yang pertama sejak ia menjalani program peningkatan yang meluas, apabila Brazil bertemu England dalam satu perlawanan persahabatan yang penuh glamour hari ini.

Khamis lalu, seorang hakim tempatan telah memutuskan bahawa perlawanan tersebut tidak boleh diteruskan memandangkan ia tidak memenuhi syarat keselamatan minimum.

Namun, keputusan itu ditarik balik selepas pihak berkuasa bandar membuat rayuan.

Pemerintah Negeri Rio kemudian menjelaskan bahawa satu laporan keselamatan yang wajib belum lagi dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan gara-gara “kegagalan birokratik”.

Insiden pembatalan itu adalah tamparan terbaru yang tidak henti-henti menjejas program baik pulih stadium yang dianggap sebagai satu ikon di Brazil.

Selain itu, ia juga terjejas dengan kelewatan dan pertikaian sejak kerja-kerja yang menelan belanja AS$600,000 ($757,182) dimulakan 30 bulan yang lalu.

Stadium tersebut dirasmikan pembukaannya pada 27 April apabila dua pasukan yang diketuai oleh Ronaldo dan Bebeto bermain dalam satu perlawanan pertunjukan di hadapan 25,000 penonton - jumlah yang dibataskan.

Namun perlawanan hari ini adalah kali pertama jumlah penonton sepenuhnya yang membeli tiket akan dibenarkan masuk.

Stadium tersebut mengekalkan rekaan membujurnya, tetapi ia kini mempunyai bumbung yang baru dan kawasan penonton yang mempunyai dua tingkat telah digantikan dengan satu tingkat sahaja dan diisi dengan warna-warna tempat duduk kuning, biru langit dan putih yang memancar-mancar.

Dibina untuk Piala Dunia 1950 di mana pasukan tuan rumah kecundang 2-1 di tangan Uruguay pada perlawanan akhir, stadium tersebut telah menyaksikan beberapa persembahan hebat daripada legenda bola sepak Brazil seperti Pele dan Zico.

Stadium itu mempunyai tempat duduk untuk menampung seramai 78,838 penonton, meskipun pernah menampung sehingga 200,000 penonton pada zaman kemuncaknya.

Ia dijadualkan menjadi tuan rumah pada empat perlawanan Piala Konfederasi, selain tujuh perlawanan Piala Dunia pada tahun depan, termasuk perlawanan akhir kededua kejohanan.

Perlawanan dibatal

RIO DE JANEIRO, 1 Jun - Brazil mungkin dimalukan di peringkat antarabangsa selepas membatalkan satu perlawanan bola sepak menentang England.

Tindakan Brazil itu sudah pasti menimbulkan kebimbangan mengenai kesediaan negara itu menjadi tuan rumah Piala Konfederasi yang hanya tinggal dua minggu lagi, Piala Dunia setahun dari sekarang dan Olimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Seorang hakim kelmarin mengarahkan agar perlawanan persahabatan antarabangsa antara Brazil dengan England yang dijadualkan Ahad ini di Stadium Maracana yang baru dibaiki dibatalkan sambil berkata bahawa tempat tersebut tidak selamat.

Pemerintah negeri Rio de Janeiro berkata ia akan membuat rayuan terhadap keputusan hakim Adriana Costa dos Santos itu dan percaya stadium tersebut memenuhi semua syarat keselamatan yang diperlukan.

Ada kemungkinan hakim akan menarik balik keputusannya dan membiarkan perlawanan itu diteruskan.

Sekalipun perlawanan tersebut diteruskan, kekecohan itu memberikan mesej bahawa Brazil tidak bersedia bagi kejohanan Piala Konfederasi - satu ujian penganjuran Piala Dunia meskipun hanya melibatkan lapan pasukan.

Dan, lebih penting daripada itu, Piala Dunia itu sendiri dan Sukan Olimpik.

Badan induk bola sepak dunia, Fifa, juga telah membuat rungutan secara terbuka selama lebih setahun bahawa Brazil belum bersedia.

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>