Selangor tekad tamat badi diaib T-Team

BADI empat kekalahan di tangan T-Team tahun lalu - dua dalam aksi Liga Super dan dua Piala Malaysia - perlu ditamatkan Selangor Sabtu ini dalam perlawanan kelima Liga Super 2012.

“Kita tidak harus kalah kepada T-Team lagi,” kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui ketiadaan penyerang import dalam empat perlawanan lalu sedikit merencatkan persembahan pasukannya.

Selepas empat perlawanan, Selangor sekadar meraih satu kemenangan, 1-0 ke atas Perak selepas seri 2-2 dengan Negeri Sembilan, diikuti kekalahan 1-0 kepada FELDA United dan seri tanpa jaringan ketika bertemu Sarawak.

Berdasarkan prestasi perlawanan terakhir bertemu skuad kendalian Robert Alberts itu, ternyata Selangor lambat panas dan terlalu berharap kepada percubaan jarak jauh Amri Yahyah dan Bunyamin Omar serta sepakan percuma Safiq Rahim dan Asrarudin Putra Omar untuk menjelmakan gol.

Kegagalan jentera serangan Merah Kuning menembusi tembok pertahanan Sarawak malam itu, membuktikan betapa kehadiran penyerang berpengalaman, baik tempatan mahupun import, amat penting andai Gergasi Merah mahu mengekalkan reputasi sebagai pasukan pilihan.

Selangor kini di tangga kelapan liga, mengumpul lima mata dan ketinggalan lima di belakang pendahulu, Kelantan.

“Selepas perlawanan dengan T-Team, baru kita akan mempunyai penyerang import,” kata Irfan yang menganggap tidak ada sebab untuknya merasa panik terlalu awal. — Berita Harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>