Popovic gagal jaring gol dalam lima perlawanan Liga Super

Perak FANASIB dua pemain import Perak, Lazar Popovic dan Michal Kubala akan diketahui sebelum 13 Februari ini.

Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun menjelaskan, Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan bermesyuarat bagi membincangkan kedudukan Popovic dan Kubala bersama skuad Seladang musim ini.

Bagaimanapun, Khairul Azwan tidak menyatakan tarikh sebenar mesyuarat itu, namun memberitahu bahawa mesyuarat berkenaan akan diadakan sebelum 13 Februari ini - tarikh akhir pendaftaran pemain import sebagaimana yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Mesyuarat pengurusan yang akan dipengerusikan oleh Presiden PAFA, Datuk Zainol Padzi Paharudin akan membincangkan secara terperinci prestasi Kubala dan Popovic.

“Pada mesyuarat itu nanti, PAFA akan mengambil keputusan muktamad sama ada mahu menyingkirkan atau mengekalkan Kubala dan Popovic,” kata Khairul Azwan.

Sebelum ini, para penyokong setia Kejor Yob Kejor melahirkan perasaan tidak puas hati dengan prestasi yang dipamerkan Popovic.

Popovic yang pernah beraksi dalam skuad remaja Serbia disenaraikan sebagai penyerang utama Perak, tetapi masih gagal menjaringkan sebarang gol sejak lima perlawanan lalu.

Kegagalan itu turut mendapat perhatian Zainol Padzi dengan menyatakan bahawa Popovic diambil untuk menjaringkan gol bukan sebagai penggerak serangan.

Tidak seperti Popovic, kelibat Kubala yang beraksi di bahagian tengah sering mendapat pujian daripada para penyokong Perak.

Daripada enam gol yang direkodkan Perak dalam kempen Liga Super setakat ini, Kubala berjaya menyumbang dua gol.

Rata-rata peminat Perak berpendapat Kubala dapat beraksi dengan baik di bahagian tengah bersama kapten, Shahrulnizam Mustafa.

Ketika ini, Perak berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan sekali tewas.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , , ,


Readers Comments (1)

  1. edisikini dot com

    erm….macam import kelantan la…

     Reply