Kedah calar rekod Perak

REKOD cemerlang Perak di gelanggang sendiri musim ini akhirnya dileburkan Kedah selepas Skuad Seladang tewas 1-3 kepada pasukan Kenari yang mendapat sentuhan pertama bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh malam tadi.

Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ke-30 sebelum Mohd Firdaus Faudzi menambah derita skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-75. [LIHAT VIDEO]

Pertahanan tuan rumah, Mohd Syazwan Roslan membunuh semangat rakan sepasukan dan 15,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82.

Mohd Hazrul Mustafa memberikan jaringan sagu hati Perak pada minit ke-90.

Kemenangan itu membolehkan Kedah memintas Perak untuk menduduki tangga keempat carta Liga Super.

Sementara itu pertembungan dua pasukan teratas Liga Super - pendahulu Selangor dan Terengganu yang hanya dibezakan satu mata - berakhir seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, untuk membolehkan Merah Kuning kekal menerajui liga, sekurang-kurangnya sehingga malam ini. [LIHAT VIDEO]

Pada babak pertama, pelawat yang cuba bangkit daripada kekalahan 1-0 di tangan Kelantan Selasa lalu, mengawal permainan sebaik bermula tetapi hanya menembusi gawang tuan rumah selepas minit ke-42.

Safiq Rahim yang bekerja keras memastikan Selangor tidak pulang dengan tangan kosong daripada dua kunjungan ke Pantai Timur, bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Amri Yahyah tiga minit sebelum rehat.

Namun pada babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim kembali mempamerkan rentak sebenar untuk mencari gol penyamaan dan Ismail Faruqi tidak mensia-siakan peluang di depan gawang Selangor ketika menyudahkan hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-62.

Terengganu kembali mengawal permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi Ismail, tetapi tandukannya ditampan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.

Selangor kekal di tangga teratas dengan 33 mata, dengan Kelantan berpeluang memintas sekiranya merakam kemenangan ke atas Kuala Lumpur, di Kota Bharu malam ini.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>