Kelantan sekadar seri dengan N.Sembilan

JUARA bertahan, Negeri Sembilan terus mengorak langkah memburu tempat ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengutip mata kelapan selepas seri 2-2 bertemu Kelantan dalam saingan Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. [LIHAT VIDEO]

Tuan rumah membuka jaringan menerusi rembatan kencang Shahurain Abu Samah pada minit ke-25 diikuti sepakan penalti Abdul Halim Zainal (m-63) tetapi Kelantan mempamer kebangkitan dalam tempoh dua minit menerusi jaringan Zainal Fitree Ishak (m-67) dan Akmal Rizal Rakhli (m-69).

Dalam satu lagi saingan kumpulan sama, peluang PKNS ke suku akhir kembali cerah apabila menewaskan KL Plus 3-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk berada di tangga kedua dengan enam mata, manakala Kelantan ketiga dengan lima mata.

Sementara itu, Selangor menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia 2010 selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Kumpulan D dengan menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Bagaimanapun Selangor tersentak pada minit ke-28 hasil jaringan awal Haris Safwan Mohd Kamal, sebelum bangkit menerusi gol penyamaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-43.

Safee Sali muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65 seterusnya mengesahkan kemaraan skuad bimbingan K Devan itu selepas menduduki tangga teratas Kumpulan D.

Satu lagi aksi dalam kumpulan yang sama, Perlis mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, untuk membolehkan mereka berkongsi enam mata dengan T-Team dalam satu lagi perebutan tiket suku akhir.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>