Popovic masih taruhan Seladang
Perak vs Sarawak
Liga Super | 8 Februari 2012
Stadium Perak, Ipoh
PERAK tetap menurunkan penyerang import Serbia, Lazar Popovic dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Perak, Ipoh malam ini walaupun prestasi hambar pemain itu tidak disenangi penyokong.
Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, Popovic masih mendapat tempat dalam percaturan strategi jurulatih, Norizan Bakar walaupun penyerang itu gagal meledak gol sejak lima perlawanan lalu.
“Norizan telah membuat analisis bagi setiap pemain termasuk dua pemain import dalam setiap perlawanan sebelum melakukan percaturan strategi bagi perlawanan akan datang,” katanya.
Popovic terus bergelut untuk menyakinkan penyokong Kejor Yeop Kejor apabila gagal menamatkan kebuntuan gol berbanding rakannya, Michal Kubala yang telah menjaringkan dua gol.
Khairul Azwan menjelaskan, kedua-dua pemain import itu akan tetap diturunkan dalam setiap perlawanan sehingga Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membuat keputusan mengenai kedudukan mereka.
Katanya, PAFA juga belum bermesyuarat bagi membincangkan masa depan Popovic dan Kubala dalan skuad Seladang.
Mengenai perlawanan dengan Sarawak, Khairul Azwan berkata, Perak tidak rela berkongsi mata dengan pihak lawan di gelanggang sendiri.
“Perak berazam mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan di gelanggang sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam persaingan liga,” tegasnya.
Perak kini berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan. — Utusan
Perak vs Sarawak 08.02.2012
Luahan Perasaan