Peminat Terengganu desak Che Mat Jusoh letak jawatan Presiden PBSNT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tidak akan melayan desakan sesetengah pihak yang meminta beliau meletak jawatan ekoran pengunduran jurulatih, Irfan Bakti baru-baru ini.

Menurut Che Mat, desakan itu tidak akan menjadi ‘kudis’ buatnya kerana tumpuannya kini hanya terarah kepada usaha untuk menyelesaikan kemelut yang membelenggu PBSNT.

“Kebanyakan penyokong salah faham mengenai isu pengunduran Irfan dan pembahagian bonus (wang ganjaran) selaku juara Piala FA.

“Jadi, saya perlu selesaikan isu ini terlebih dahulu dan tidak akan melayan desakan-desakan yang lain.

“Untuk itu, saya harap, wakil kepada pihak yang masih belum berpuas hati itu datang ke pejabat PBSNT untuk berbincang secara terbuka kerana kita tak mahu perkara ini berlanjutan,” katanya.

Kemelut yang melanda PBSNT dipercayai bermula sejak perletakan jawatan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti baru-baru ini sehingga menyebabkan campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ekoran kemelut tersebut, sesetengah pihak terutamanya penyokong menuding jari menyalahkan Presiden PBSNT itu sambil menyifatkan kelemahan pentadbiran sebagai punca perletakan jawatan Irfan.

Kemuncak kepada rasa tidak puas hati itu akhirnya diluahkan dalam satu perhimpunan aman kelmarin yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 peminat skuad bola sepak Penyu.

Mengulas mengenai isu ganjaran kemenangan Piala FA yang disifatkan tidak adil oleh beberapa penyokong yang menyertai perhimpunan tersebut pula, tegas Che Mat, perkara itu telah dipersetujui oleh semua pihak yang berkenaan.

Katanya, pengagihan wang ganjaran di antara pemain utama dan pemain simpanan memang tidak sama dan polisi itu telah diamalkan oleh persatuan-persatuan bola sepak lain di negara ini dan sesetengah kelab bola sepak dari luar negara.

“Tidak adillah jika pemain yang duduk di bangku simpanan akan mendapat ganjaran yang sama dengan pemain yang bermain sepanjang perlawanan. Lagipun, ganjaran itu diuruskan oleh kerajaan negeri dan dibayar secara individu melalui cek,” katanya.

Jelas Che Mat lagi, sepanjang mengepalai PBSNT selama hampir 13 tahun, banyak perubahan yang telah dilakukannya sehingga berjaya membawa skuad Terengganu berada pada kedudukan yang terbaik.

“Walaupun PBSNT pernah tak dapat bantuan daripada kerajaan negeri sebelum ini (1999 hingga 2004), tapi ia masih boleh bertahan hingga ke hari ini,” katanya.

Justeru, beliau menganggap desakan kumpulan penyokong yang berhimpun kelmarin sebagai tidak berasas dan tidak kena pada masanya.

“Jika mereka tidak sokong saya sekalipun, masih ramai peminat yang berada di belakang saya,” katanya. — Utusan Malaysia




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)