Nazmi Faiz Mansor dipikat kelab SC Biera-Mar dari Portugal

KELIBAT bintang muda dalam pembikinan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor mula menggamit tumpuan.

Biarpun hanya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Muda A musim ini, Nazmi sudah berjaya menambat hati kelab Eropah.

Kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar menjadi kelab Eropah pertama yang menunjukkan minat untuk melamar pemain berusia 18 tahun itu.

Jika tiada sebarang masalah, Nazmi akan menjalani sesi pemilihan (trial) bersama skuad utama Beira-Mar selama seminggu mulai 16 Mei ini.

Mengulas mengenai pemilihan Nazmi untuk menjalani pemilihan itu, pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjadi individu paling gembira dengan perkhabaran tersebut.

“Ia adalah satu berita yang baik yang mana Nazmi dinilai sendiri melalui ejen dan pencari bakat kelab itu sendiri.

“Mereka telah datang untuk mengemukakan tawaran secara rasmi supaya meminta Nazmi hadir bagi sesi pemilihan tersebut.

“Lebih membanggakan, ia hasil daripada usaha Nazmi sendiri dan kelab tersebut sendiri yakin dengan bakat semula jadi yang ada dalam diri Nazmi,” kata Kim Swee di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Kim Swee, Nazmi mampu menjadi ‘produk’ pertama negara untuk membuka ruang kepada pemain-pemain lain beraksi di luar negara terutama di benua Eropah.

“Ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif untuk bola sepak negara dan saya harap Nazmi dapat mengambil peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan kontrak beraksi bersama skuad utama Beira-Mar.

“Sekiranya ‘produk’ kita berjaya di sana (Portugal), tidak mustahil pemain-pemain lain akan menyusul mengikuti jejak Nazmi,” katanya.

Sementara itu, Nazmi berkata, dia akan memberikan aksi terbaik sepanjang menjalani sesi ujian pemilihan tersebut.

“Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan apabila mereka berminat untuk menguji kebolehan saya.

“Saya akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan dapat memikat jurulatih kelab itu dan bersedia untuk menimba ilmu di Eropah,” ujarnya.

Nazmi akan berlepas ke Portugal Ahad ini dengan ditemani bapanya, Mansor Mustapha. — Kosmo

Video Gol Nazmi Faiz Mansor [Malaysia vs Bahrain]

Nazmi Faiz sedia ‘pulun’ di Portugal

‘Saya rasa tidak ada sebarang masalah untuk beraksi di sana’

PEMAIN muda negara, Nazmi Faiz Mansor yang terpilih menjalani ujian pemilihan selama seminggu bersama kelab divisyen satu Liga Portugal, SC Beira-Mar tidak mahu mengulangi episod sama seperti pernah dilalui beberapa pemain negara sebelum ini.

Walaupun mungkin ramai yang tidak mengenali kelab berkenaan berbanding liga di negara ternama yang lain, namun Nazmi tetap beranggapan peluang pemilihan seminggu yang bermula pada 13 hingga 21 Mei itu satu perkhabaran gembira buat dirinya untuk terus mengembangkan bakat dalam bola sepak.

“Ini sudah menjadi satu berita baik bagi saya (menjalani pemilihan) sebab saya tahu orang hanya kenal pasukan di liga Sepanyol dan EPL. Jadi ini peluang terbaik buat saya untuk meraih pengalaman dan mempelajari ilmu baru ketika berada di sana.

“Apabila saya dengar berita ini, saya terus membuat persediaan dan saya rasa tidak ada sebarang masalah untuk beraksi di sana. InsyaAllah saya akan beri 100 peratus kerana saya tahu bukan mudah untuk dapat peluang bermain dengan kelab luar negara,” katanya yang menyertai pasukan utama dan bakal bersaing dengan pemain senior kelab berkenaan.

Apa yang lebih menarik dengan tawaran daripada kelab yang pernah dibintangi legenda Portugal, Eusebio da Silva Ferreira itu dibuat secara ‘merit’ selepas prestasi agen melihat aksi cemerlang Nazmi ketika beraksi dalam saingan Liga Singapura.

Mengikut prestasi semasa, kelab yang digelar dengan panggilan Auri Negros itu kini menduduki tangga ke 12 daripada 16 pasukan dalam saingan liga utama Portugal.

Sementara itu, jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee, berkata di Portugal tidak ada syarat ketat seperti ditetapkan di saingan Liga Inggeris.

“Di Portugal, mereka benarkan pemain yang mereka fikir layak bermain. Jawapan mengenai keputusan pemilihan itu akan dapat diketahui dalam masa seminggu dan kelab berkenaan akan maklumkan kepada kita apa keputusan mereka,” katanya. — BH




coded by nessus

Main topics: Bola Sepak Malaysia

Sub topics: , , , ,


Readers Comments (2)

  1. Ahmad Zaki

    Assalamualaikum….

    Saya dengar semasa siaran langsung Liga Super di TV1 (Sabtu, 12 Mei 2012), pengulas sukan mengatakan bahawa Nazmi dah bertolak ke Portugal malam semalam…

     Reply
  2. aiman

    askum

     Reply