Kemelut jurulatih Terengganu selesai, Butler bimbing T-Team
Peter Butler dilantik Pengurus merangkap Jurulatih T-Team
Kemelut berpanjangan di antara Peter James Butler dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berakhir apabila jurulatih itu dikekalkan di negeri ini dengan tugas baru mengendalikan pasukan T-Team musim depan.
Perkara itu disahkan oleh Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh ketika dihubungi semalam.
Menurut Che Mat, kata sepakat itu berjaya dicapai selepas satu mesyuarat jawatankuasa darurat berhubung perkara itu diadakan malam kelmarin.
“Kita sudah mencapai kata sepakat dengan Butler dan dia kini secara rasminya bukan lagi jurulatih pasukan Terengganu.
“Dia menghormati kita dan kita menghormatinya. PBSNT juga memilih untuk memandang ke hadapan dalam hal ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung pampasan 15 bulan yang dituntut oleh jurulatih itu kepada PBSNT sebelum ini.
Jelas Che Mat lagi, apa yang lebih penting ialah PBSNT dan Butler boleh terus merencanakan perancangan masing-masing selepas keputusan itu dibuat.
“Kami (PBSNT) mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan berharap dia akan terus berusaha dalam setiap apa yang dilakukannya pada masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Butler nyata gembira dengan keputusan PBSNT itu namun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai kandungan perjanjian yang dipersetujui dengan persatuan berkenaan.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia bukan berkaitan dengan wang semata-mata namun lebih kepada soal prinsip.
“Saya juga mahukan yang terbaik untuk PBSNT dan masih baik (hubungan) dengan mereka. Tidak ada masalah,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pelantikannya selaku pengendali T-Team yang baru musim depan, Butler berkata, beliau tidak sabar kerana cita-citanya masih sama iaitu untuk membangunkan bola sepak di negeri ini.
“Saya sukakan negeri ini dan rakyatnya, seperti apa yang saya pernah beritahu sebelum ini, ada urusan yang belum saya selesaikan di sini,” katanya.
Kemelut di antara PBSNT dan Butler bermula selepas jurulatih berusia 46 tahun itu digantung selama enam bulan oleh PBSNT kerana mengeluarkan kenyataan berhubung masalah disiplin anak-anak buahnya kepada pihak media.
Walaupun rayuannya ditolak oleh PBSNT, namun, Butler memanjangkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan diterima atas alasan keputusan yang dibuat PBSNT itu tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan FAM. — Utusan
November 13, 2012 - 2:50 pm
che mat ayat sedak okmo ye..haha