Bukan prestasi terbaik Selangor - K Devan

PENGENDALI Red Giants, K Devan mengakui perlawanan menentang Kelantan dalam aksi Piala Sumbangsih bukan prestasi terbaik pasukannya.

Malah, kehadiran pemain kebangsaan dalam kem Selangor juga tidak begitu membantu untuk menyekat Skuad Kijang daripada berpesta di Stadium Shah Alam, kelmarin.

“Saya akui pasukan Selangor tidak beraksi pada tahap sebenar bertemu Kelantan. Kehadiran pemain kebangsaan juga sedikit menghampakan kerana pemikiran dan tumpuan tidak begitu baik dalam permainan.

“Barangkali mereka mempamerkan aksi cemerlang bersama negara kejohanan Piala AFF Suzuki lalu namun gagal untuk diteruskan bersama pasukan negeri,” katanya.

Jaringan pasukan The Red Warriors menerusi tendangan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Mohd Badhri Radzi pada babak kedua meranapkan impian Selangor mencipta hatrik julang Piala Sumbangsih sejak memenanginya pada 2009.

“Kelantan mendapat gol menerusi satu gerakan bola mati iaitu menerusi penalti dan sepakan percuma serta peluang itu tidak dipersiakan mereka.

“Apa pun, saya masih berbangga kerana barisan pertahanan kami hanya tewas menerusi ‘set-piece’ dan bukan dalam bentuk jaringan padang.

“Kami juga memiliki banyak peluang, namun gagal disudahkan dalam bentuk jaringan,” katanya.

Selangor memulakan kempen Liga Super 2011 dengan langkah sumbang setelah tewas 0-2 kepada skuad bimbingan Datuk M Karathu itu.

Keputusan itu bermakna Selangor memulakan saingan mempertahan kejuaraan musim lalu di tangga terbawah carta Liga Super.

Selangor akan bertandang ke Stadium Utama, Kangar untuk membuat perhitungan dengan Perlis malam esok.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>