Olimpik 2012: Jepun tewaskan juara Euro 2012
IMPIAN juara Piala Dunia dan juara Eropah, Sepanyol, menguasai acara bola sepak Sukan Olimpik 2012 tampak sukar.
Ia berikutan kekalahan mengejut menimpa pasukan yang disebut-sebut bakal merebut pingat emas itu apabila kecundang 1-0 kepada Jepun dalam perlawanan sulung.
Bagaimanapun, Brazil yang turut menjadi pilihan di London 2012 hampir juga menerima kejutan sebelum berjaya mengekang kebangkitan Mesir menerusi kemenangan 3-2 pada perlawanan pembukaan kelmarin.
Pasukan tuan rumah, Britain, yang tampil buat kali pertama di Olimpik sejak 52 tahun, turut dinafikan kemenangan pertama di depan 72,000 penonton di Old Trafford apabila sekadar seri 1-1 dengan Senegal.
Uruguay, yang muncul buat kali pertama di Olimpik sejak gagal melayakkan diri 84 tahun lalu, bangkit selepas ketinggalan 0-1 untuk mengatasi Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dalam perlawanan pertama mereka.
Di hari apabila kesemua 16 pasukan turut bertarung, Belarus yang tampil buat kali pertama di peringkat antarabangsa mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas New Zealand di Coventry.
Keputusan mengejut di Hamden Park di mana Jepun menafikan kehebatan Sepanyol - negara pertama yang mengimpikan tiga mahkota kejuaraan pada masa yang sama selepas merebut Piala Dunia, mahkota Kejohanan Eropah dan pingat emas Olimpik - merupakan tumpuan ramai.
Sepanyol menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain midfieldnya, Inigo Martinez, dilayang kad merah sebelum masa rehat.
Sepanyol tidak mempunyai keupayaan mengadang gol rembatan Yuki Otsu pada minit ke-34.
Jurulatih Jepun, Takashi Sekizuka, ketika ditanya apakah ini merupakan kemenangan terbaik bagi pasukannya, berkata:
“Kami amat menanti-natikan perlawanan ini dan matlamat utama kami ialah mahu mempamerkan persembahan yang terbaik mungkin.
“Kini kami perlu bersiap sedia pula untuk perlawanan menentang Maghribi dan Honduras. Bagaimanapun, saya amat gembira dengan keputusan perlawanan hari ini”
Luahan Perasaan