DI SEBALIK keciciran beberapa mata penting, bos Chelsea, Carlo Ancelotti mencabar pengkritik bola sepak bahawa dia ada ramuan merencanakan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kempen pertamanya di Stamford Bridge sungguh pun hanya melihat anak buahnya menang sekali dalam tujuh perlawanan.
Warga Itali itu enggan menekan butang panik selepas rentetan yang menyaksikan pasukannya gagal melebarkan jurang ke atas juara, Manchester United yang kini berjaya merapatkan pendahuluan kepada dua mata selepas menundukkan Hull City awal pagi tadi.
Ancelotti menerima suntikan besar menjelang pertembungan menentang tetangga dari London, Fulham, malam ini selepas mendapat persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Ivory Coast untuk mengekalkan Didier Drogba dan Salomon Kalou bagi satu lagi perlawanan sebelum terbang ke Piala Negara Afrika.
Tetapi pasukan yang diletakkan harapan itu beraksi pada tahap sederhana ketika seri 0-0 di Birmingham kelmarin, dengan hari Ancelotti bertambah buruk apabila Florent Malouda dibuang padang gara-gara kad kuning kedua.
Namun, warga Itali itu masih yakin gelaran liga itu akan tetap ke Stamford Bridge.
“Sasaran kami adalah untuk memenangi gelaran dan kami masih berada di atas liga pada ketika ini,” tegasnya.
“Hari ini (kelmarin) kami berada pada pertengahan musim dan berada di atas jadi ia adalah bagus buat kami. Kami harap untuk kekal di sana. Kami melakukan tugas yang baik jika kami bekerja keras dan saya fikir kami masih boleh menang.
“Kami perlu mencari jalan penyelesaian lain, kami mempunyai skuad yang bagus. Ini bukan keputusan baik buat kami. Ia adalah saat yang tidak baik buat kami tetapi saya tidak melihat ia sebagai masalah besar.
“Kami rindu menggunakan khidmat pemain bagus iaitu Nicolas Anelka dan Michael Essien tetapi kami masih bermain bola sepak yang bagus.
“Birmingham dan lawan kami seterusnya, Fulham berada pada keadaan baik dan ini menjanjikan kami perlawanan sukar. Tetapi saya tidak melihatnya sebagai masalah.”
Leave a Reply: