JURULATIH England, Fabio Capello membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain sayap Los Angeles (LA) Galaxy, David Beckham bagi menghadapi kempen Euro 2012 di Poland dan Ukraine tahun depan.
Begitupun, bekas pemain tengah Manchester United itu berkata, dia tidak akan mengalah, sekali gus terus mempamerkan persembahan aksi konsisten bagi memikat semula hati Capello.
Beckham yang telah membuat 115 penampilan bersama skuad The Three Lions dilaporkan bakal berhijrah ke kelab Perancis, Paris St. Germain bagi memulakan kariernya di pentas antarabangsa.
Namun, Capello tetap dengan pendirian untuk tidak menyenaraikan Beckham bagi menyarung jersi England.
Ditanya sama ada Beckham ada dalam perancangan bagi menghadapi pusingan akhir Euro 2012, Capello menjawab: “Tidak. Namun, saya fikir dia akan disenaraikan dalam skuad England bagi temasya Sukan Olimpik 2012,” kata Capello.
Pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Beckham diletakkan selaku jurulatih sampingan skuad The Three Lions selepas terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan.
Tidak mustahil perkara tersebut akan turut dilakukan Capello pada pusingan akhir Euro 2012 nanti.
“Saya masih belum memikirkan mengenai perkara ini lagi. Sekiranya ada sebarang keputusan dibuat, saya akan maklumkan,” jelas Capello.
Sebagai rekod, kali terakhir Beckham beraksi buat England adalah pada kempen kelayakan Piala Dunia menentang Belarus dua tahun lalu. — Kosmo
Leave a Reply: