SELANGOR terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas memungut tiga lagi mata ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.
Pasukan Merah Kuning bimbingan K Devan itu ternyata serius dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan musim lalu selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi saingan liga di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah itu terpaksa menunggu sehingga lebih sejam tempoh permainan untuk membuka tirai jaringan menerusi tonggak pertahanan, Mohd Nasriq Baharom pada minit ke-70.
Kapten, Mohd Amri Yahyah menambah derita skuad Harimau Kumbang apabila menjaringkan gol kedua buat Selangor pada minit ke-81 kemudian sebelum penyerang, Mohd Safee Sali meledak gol ketiga dua minit kemudian.
Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Selangor kini mengumpul 57 mata, lima mata meninggalkan pencabar terdekat mereka, Kelantan yang terus setia berada di tangga kedua.
Sementara itu dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kelantan menampil aksi bertenaga untuk meraih tiga mata penuh apabila berjaya menewaskan tuan rumah, Kuala Lumpur 2-0.
Walaupun kemenangan berkenaan tidak mengubah kedudukan Kelantan, namun sedikit sebanyak memberi peluang kepada skuad The Red Warriors itu untuk meneruskan tekanan ke atas Selangor.
Kelantan membuka tirai jaringan menerusi penjaring terbanyak pasukan, Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-29 sebelum satu lagi gol menyusul pada babak kedua hasil jaringan Mohd Badhri Radzi minit ke-63.
Selepas semua pasukan beraksi 23 perlawanan, Selangor masih selesa di tangga teratas dengan 57 mata diikuti Kelantan (52) dan Terengganu (47).
Dengan baki tiga lagi perlawanan, Terengganu tidak lagi mampu untuk mengejar kedudukan Selangor dan persaingan Liga Suoer kini hanya antara pasukan Merah Kuning dan Kelantan.
Tags: Kelantan, Kuala Lumpur, Liga Super, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu