Piala Malaysia 2011 bermula September
SELEPAS tamat saingan Liga Super dan Piala FA 2011 yang masing-masing dimenangi Kelantan dan Terengganu, tumpuan peminat selepas ini (selain aksi pasukan kebangsaan - Kelayakan Piala Dunia, Kelayakan Olimpik dan persahabatan menentang kelab EPL) tentunya kepada saingan Piala Malaysia.
Berdasarkan perancangan awal, saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia dijadualkan bermula pada 7 September 2011 (selepas Hari Raya Aidilfitri) manakala perlawanan akhir (final) Piala Malaysia 2011 adalah pada 29 Oktober.
Saingan Piala Malaysia terhad kepada 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat pasukan terbaik Liga Perdana.
Ekoran pemergian Harimau Muda A ke Slovakia bagi siri persahabatan sebagai persediaan pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2014, pasukan tangga ke-13 Liga Super, Pahang dan pasukan tangga kelima Liga Perdana, Sime Darby dipilih untuk berentap secara timbal balik bagi mengisi kekosongan satu tempat skuad bawah 22 tahun negara itu dalam persaingan Piala Malaysia, September depan.
“Tanpa Harimau Muda A, Pahang dan Sime Darby yang masing-masing menduduki tempat ke-13 Super dan kelima Perdana, akan menentukan slot terakhir Piala Malaysia di Kuala Lumpur, 19 Julai dan Kuantan, 22 Julai,” demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Juara baru Liga Super 2011, Kelantan adalah juara bertahan Piala Malaysia selepas menundukkan Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi final 2010.
Video: Final Piala Malaysia 2010
Luahan Perasaan