Giliran Sime Darby tempelak pengadil [Piala Malaysia 2013]
Sarawak vs Sime Darby [3-1] Piala Malaysia 2013
Mutu pengadilan bola sepak negara sekali lagi ditegur dan kali ini giliran jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria menempelak pengadil perlawanan selepas skuad bimbingannya tewas 1-3 kepada Sarawak pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia, malam kelmarin.
Ismail yang hilang sabar, lantang menyuarakan rasa tidak puas hati sambil menyifatkan kekalahan anak buahnya ‘dibantu’ pengadil Muhammad Zamzaidi Katimin hingga menyaksikan hasrat kelab itu mara ke separuh suku akhir buat pertama kali terbantut.
Beliau mempertikai tindakan pengadil dari Melaka itu memberikan sepakan percuma yang menghasilkan gol kedua Sarawak sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan 1-2 hingga menjejaskan tumpuan pemainnya.
“Saya nampak sendiri dan kita ada siaran langsung, semua boleh menilai dan paling mendukacitakan keputusan pengadil menyebabkan gol kedua Sarawak. Kami sebelum itu dapat menyaingi Sarawak dari semua segi tapi gol kedua itu membunuh momentum kami. Saya rasa sepakan percuma itu tidak seharusnya diberikan,” katanya sambil memberitahu kejadian itu kali kedua menimpa pasukannya.
“Sebelum ini, kami juga seperti ‘dipermainkan’ pengadil ketika menentang Selangor di Shah Alam apabila jaringan kami yang sah, tidak dikira. Saya bukan tidak boleh menerima kekalahan, tapi biarlah adil.” Ditanya sama ada akan membawa perkara itu kepada FAM, Ismail berkata, beliau tidak berminat membuat bantahan kerana sudah menjangkakan keputusan perlawanan pasti tidak boleh diubah.
“Saya terima kekalahan ini walaupun ia sebahagiannya disebabkan keputusan pengadil. Kami turun 100 peratus pemain tempatan kerana dua pemain import cedera. Tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki kami tahun ini. Insya-Allah tahun depan kami akan berusaha lagi. Saya puji pemain kerana kesungguhan dan aksi terbaik yang mereka pamerkan.
“Walaupun kalah, kami bangga dengan prestasi pasukan yang kebanyakannya pemain muda. Anggaplah ia sebagai persiapan untuk tahun depan,” katanya.
- Metro
Luahan Perasaan