Irfan: Semua pasukan miliki kelebihan

Terengganu tidak pandang mudah cabaran Sabah, Kuala Lumpur

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti menegaskan, tiada siapa yang berhak dilabel sebagai pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan B kempen Piala Malaysia bulan depan.

Sebaliknya, Irfan mengakui, setiap pasukan dalam kumpulan itu masing-masing mempunyai kelebihan untuk menguasai dua kedudukan teratas, sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati.

Pada saingan Kumpulan B, Terengganu yang menduduki tangga ketiga Liga Super diundi satu kumpulan bersama Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah.

“Saya akui banyak pasukan mula gerun dengan pasukan kami selepas apa yang kami pamerkan dalam saingan Liga Super.

“Di atas kertas, mungkin kami adalah pilihan, tetapi saya tidak mahu menjadikan alasan itu untuk mendabik dada,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Malah, bekas pengendali Perlis itu menyifatkan pasukan Sabah sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian.

“Sabah akan beraksi pada Piala Malaysia dengan reputasi sebagai naib juara Liga Perdana. Mereka mempunyai ramai pemain muda dan kita sendiri tidak pasti sejauh mana kekuatan pasukan ini.

“Pahang pula walaupun kita menang dua perlawanan liga ke atas mereka, namun pengalaman pasukan itu beraksi di pentas Piala Malaysia tidak perlu dipandang mudah. Begitu juga dengan Kuala Lumpur iaitu pasukan yang mampu mencipta kejutan,” jelasnya

Untuk rekod, Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001 selain layak ke final pada 1973, 1982 dan 1998.

Irfan turut menganggap saingan Piala Malaysia dan kempen Liga Super mahupun Liga Perdana merupakan dua pentas yang berbeza.

Ujarnya, cabaran bagi Piala Malaysia juga lebih dramatik berbanding Liga Super mahupun Liga Perdana.

“Piala Malaysia adalah kejohanan paling berprestij di negera ini dan piala itu sendiri merupakan piala paling diingini semua pasukan.

“Jadi, amat sukar untuk meletakkan mana satu pasukan pilihan. Setiap perlawanan yang dilalui adalah cukup penting terutamanya melibatkan perlawanan kalah mati.

“Pada ketika ini, mana-mana pasukan boleh tersingkir seperti mana yang berlaku pada Piala Dunia di Afrika Selatan bulan lalu,” katanya lagi.

Terengganu akan memulakan aksi pertama Kumpulan B menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 14 September ini.

-KOSMO

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>