Wenger tidak tahu kemampuan Malaysia
SERIUS atau sekadar bergurau? Jika diperhalusi apa yang dilontarkan oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengenai Harimau Malaya pada sidang media Jelajah Asia Arsenal 2011 di Hotel Saujana, Subang semalam, jelas ada satu mesej yang perlu direnungi.
Ketika ditanya oleh wartawan tempatan sama ada pernah melihat persembahan skuad Harimau Malaya, melalui secara langsung atau rakaman video, dia berkata: ‘‘Tidak, saya belum pernah melihat persembahan Malaysia.
‘‘Mungkin ini pertemuan baru buat kami,” katanya kepada pemberita, semalam sambil tidak mahu mengulas lanjut mengenai Harimau Malaya.
Apa yang diperkatakan oleh Wenger itu bagaikan satu cabaran kepada Rajagobal dan anak-anak buahnya untuk mempersembahkan sesuatu kepada pengurus yang berasal dari
Perancis itu bahawa cabaran Harimau Malaya sama sekali tidak boleh dipandang rendah.
Mungkin ramai melihat peluang Malaysia untuk menang mungkin dilihat sesuatu yang mustahil tetapi jika para pemain Harimau Malaya dapat mempersembahkan aksi ketika melayani Manchester United pada tahun lalu, ruang melakukan kejutan tetap ada.
Ditambah dengan tahap kecergasan pemain Arsenal yang belum berada di tahap 100 peratus kerana perlawanan menentang Malaysia adalah ujian pertama Wenger bagi menghadapi musim baru, Harimau Malaya yang sedang ‘panas’ boleh menewaskan Arsenal jika beraksi cemerlang.
Berdasarkan rekod pertemuan terakhir pada tahun 1999, Arsenal yang pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti Tony Adams, Emmanuel Petit dan Marc Overmars namun pada tahun 1975, Malaysia pernah mengalahkan Arsenal dengan keputusan 2-0.
Menyentuh persiapan bagi menghadapi musim baru, Wenger berkata, dia gembira dapat membawa beberapa pemain muda seperti Ryo Miyaichi, Carl Jenkinson serta Emmanuel Frimpong.
‘‘Miyaichi merupakan satu prospek yang mengagumkan buat Arsenal dan datang dari sekolah sukan, dia mampu menyinar di Arsenal.
‘‘Frimpong pula mengalami kecederaan panjang pada musim lalu dan saya gembira dia dapat kembali bersama kami manakala Jenkinson diharapkan dapat sesuaikan diri dengan kelab barunya,” katanya.
Dalam masa sama, dia memberitahu tidak akan mendapatkan pengganti Gael Clichy di bahagian bek kiri kerana sudah mempunyai dua pemain setanding iaitu Kieran Gibbs dan Armand Traore.
‘‘Kami sudah mempunyai pemain mencukupi di posisi bek kiri kerana sudah mempunyai Gibbs, Traore dan Thomas Vermaelen,” katanya.
Luahan Perasaan