Sukma 2012: Terengganu ketuai cabaran suku akhir
Sukma 2012 Pahang
JUARA bertahan, Terengganu akan membuat perhitungan dengan Wilayah Persekutuan pada saingan suku akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 petang ini bagi memburu slot empat pasukan terakhir.
Selain Terengganu dan Kuala Lumpur, enam lagi pasukan yang turut bersaing di suku akhir ialah tuan rumah SUKMA 2012, Pahang yang membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan.
Selangor pula akan melayan cabaran Sabah sementara Perak berentap dengan satu lagi pasukan utara, Perlis.
Sementara itu, jurulatih pasukan bola sepak Wilayah Persekutuan, Razip Ismail menyifatkan peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.
Razip tidak mahu pasukannya beraksi di bawah tekanan berdasarkan reputasi Sang Penyu yang turun selaku juara bertahan.
“Pasukan yang beraksi lebih baik akan menang,” tegasnya menjelang pertemuan menentang Terengganu di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) petang ini.
- WP mahu lunas dendam
Menurut Razip, ini peluang terbaik buat anak-anak buahnya membalas dendam ekoran dikecewakan lawan yang sama pada peringkat separuh akhir temasya yang sama dua tahun lepas di Melaka.
“Saya menghormati kekuatan Terengganu, kali ini kami bertemu mereka lebih awal iaitu pada peringkat suku akhir.
“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang, siapa yang beraksi lebih baik akan menang,” katanya.
Razip memberitahu, buat masa ini moral pemainnya berada pada tahap terbaik lebih-ebih lagi selepas muncul juara Kumpulan D selain memegang reputasi antara pasukan yang belum tewas sepanjang temasya kali ini.
Selain itu, kecederaan penyerang utama, Puvana Rajah juga tidak membimbangkan Razip apabila peledak berbisa itu dijangka kembali pulih hari ini.
“Cuma saya harap agar pemain saya lebih berwaspada dengan kemampuan pemain Terengganu, terutamanya kapten mereka, Muhammad Fakhrurazi Musa dan juga penyerang, Fahmi Izzudin Mohd. Zaki,” katanya.
- Jangan gugup beraksi di gelanggang sendiri
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula mahukan pemain skuad bola sepak Pahang beraksi tanpa tekanan apabila turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Makmur petang ini.
Titah baginda, persembahan cemerlang mengejutkan juara bertahan, Terengganu dalam aksi pembukaan Kumpulan A wajar dijelmakan sekali lagi bagi menjinakkan Skuad Rusa seterusnya melangkah ke separuh akhir.
“Keghairahan untuk menang kena ada, namun pada masa sama jangan gugup beraksi di gelanggang sendiri. Bagi saya skuad muda Pahang cukup berbakat, jadi mereka kena cool,” katanya.
Jadual Suku Akhir Bola Sepak SUKMA 2012 (Selasa, 10 Julai)
- Terengganu vs Wilayah Persekutuan
- Pahang vs Negeri Sembilan
- Selangor vs Sabah
- Perak vs Perlis
Luahan Perasaan