Giliran Manchester City uji Malaysia
Malaysia vs Manchester City | Jelajah Asia 2012
DERETAN barisan bintang Manchester City yang selama ini hanya ditonton di kaca televisyen bakal membuat penampilan sulung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
The Citizens bawah kendalian Roberto Mancini hadir buat pertama kali di bumi Malaysia di jadual menguji ketangkasan skuad Harimau Malaya yang sebelum itu berdepan satu lagi kelab Inggeris, Arsenal, Selasa lalu.
Tanpa kelibat Edin Dzeko, Gareth Barry, Samir Nasri, David Silva, Joe Hart, Nigel de Jong dan Mario Balotelli yang tidak turut serta dalam jelajah kali ini tidak menghalang kerancakan pesta ‘biru’ pada pertembungan malam ini.
Namun begitu, juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tetap mempertaruhkan nama besar seperti Pablo Zabaleta, Kolo Toure, Yaya Toure, Vincent Kompany, Marcos Lopes, Aleksandar Kolarov, Sergio Aguero dan Carlos Tevez, untuk merobek gawang pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal.
Bukan mahu memperlekehkan semangat juang pemain kebangsaan tetapi tahap kecederaan yang menimpa pertahanan negara, Aidil Zafuan sedikit membimbangkan.
Pemain ATM itu begitu ampuh ketika mengemudi tulang belakang negara di mana kita hampir memalukan The Gunners sebelum kelekaan saat akhir menyebabkan Malaysia tunduk tipis 1-2.
Menjadi persoalan, apakah formasi bakal digunakan Rajagobal bagi mengekang asakan City yang diramal bermain gaya menyerang dalam usaha mendapatkan jaringan awal.
Seperti biasa, sandaran pastinya dipikul Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk mengucar-kacir benteng pasukan pelawat yang diterajui Kompany.
Posisi penjaga gawang sekali lagi bakal digalas Farizal Marlias apabila penjaga gol utama Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat dilaporkan masih belum pulih dari kecederaan. — Sinar Harian
Malaysia vs Manchester City | Jelajah Asia 2012
Luahan Perasaan