Tiada tambahan pemain hadapi Singapura

Pasukan MalaysiaTIADA pemain baru dipanggil jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi menghadapi Singapura pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam, hanya 24 pemain yang dibawa ke Singapura dilihat turun menjalani latihan tanpa kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang masih cedera ataupun mana-mana pemain baru.

Menurut Rajagobal, hanya dua pemain yang tidak dapat menjalani latihan penuh iaitu Safee Sali dan Amirulhadi Zainal yang mengalami demam sejak pagi semalam.

“Sepanjang beberapa hari latihan ini, saya mahu lihat keadaan Aidil Zafuan Radzak sama ada dia sudah pulih sepenuhnya dan begitu juga tentang pengganti Safiq Rahim di posisi tengah.

“Cadangan untuk ambil pemain baharu, semua kena faham yang saya bukan tidak membuka pintu untuk mereka tersenarai. Norhafiz Zamani Misbah memang sentiasa dalam perancangan saya sejak 2009 lagi.

“Tetapi selepas dia pulih daripada kecederaan lutut ACL, saya tak mahu panggil dia untuk tempoh dua hari ini dan beri dia tekanan serta-merta bagi perlawanan Khamis ini,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan petang semalam.

Ketiadaan Safiq yang digantung perlawanan setelah menerima kad merah pada aksi pertama Sabtu lalu memungkinkan posisi tengah menjadi rebutan Amar Rohidan, Shakir Shaari, KGurusamy dan Ismail Faruqi Ashari bagi membentuk gandingan mantap.

Ditanya tentang kerapuhan barisan pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad dan Fadhli Shas pada aksi Sabtu lalu, Rajagobal tidak mahu ia terus dipandang dari sudut negatif menjelang aksi kedua Khamis ini.

“Kita tahu barisan pertahanan kita buat kesilapan mudah. Kita telah tunjuk video kepada mereka supaya ia tidak berulang. Tetapi apabila terdapat tanda positif, kenapa kita selalu nak fikir negatif.

“Rakyat Indonesia, selepas pasukan mereka tewas 0-3 kepada kita pada final pertama Piala Suzuki AFF 2010, masih yakin dengan pasukan mereka.

“Masa inilah kita memerlukan sokongan semua pihak daripada kita terus berfikiran negatif. Lihat sajalah usaha para pemain bangkit pada babak kedua dan menghasilkan dua gol. Itu sesuatu yang positif.

“Biarpun misi utama saya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 tetapi kita tetap tak mahu kalah pada Kelayakan Piala Dunia 2014 ini dan saya masih yakin para pemain mampu mencipta kemenangan Khamis ini,” jelas Rajagobal.

Rombakan besar-besaran tidak perlu

JURULATIH Selangor, K Devan berpendapat, memanggil Mohd Norhafiz Zamani Misbah mahupun S Subramaniam pada saat-saat akhir bukanlah jawapan kepada kepincangan benteng pertahanan Harimau Malaya.

Devan sebaliknya yakin pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal mempunyai perancangan tersendiri terhadap barisan pertahanan bagi menghadapi perlawanan timbal balik kedua menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Kedengaran seruan lantang peminat mahukan rombakan drastik terhadap barisan pertahanan negara, termasuk memanggil semula Subramaniam dan Mohd Norhafiz untuk mengemudi benteng pertahanan bagi perlawanan akan datang selepas kedua-duanya mempamerkan aksi mantap menentang Chelsea minggu lalu.

Namun, Devan tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Tiada gunanya menyerap masuk pemain-pemain baru beberapa hari sebelum perlawanan. Ini kerana mereka tidak pernah berlatih bersama skuad Rajagobal, jadi keserasian tidak akan dibentuk dalam tempoh sebegitu singkat.

“Ia boleh menjejaskan rentak permainan dan taktikal yang berada dalam minda Rajagobal,” katanya.

Tambah Devan, adalah tidak wajar untuk membuat rombakan besar-besaran terhadap barisan pertahanan semata-mata hanya kerana hambar dalam satu dua perlawanan.

“Sedikit pertukaran perlu, tetapi bukan tiga empat pertukaran sekali gus. Harus diingat, barisan inilah yang merangkul pingat emas Sukan SEA di Laos dan mereka jugalah juara Piala AFF Suzuki. Sekarang mereka dikecam kerana satu perlawanan,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai ketiadaan Safiq Rahim yang digantung selepas menerima kad merah pada perlawanan di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu, Devan mengakui ia satu kekosongan besar untuk diisi.

Jelasnya, sekarang bukan masanya untuk ‘berkabung’, tetapi yang lebih penting mencari siapakah pengganti paling sesuai.

“Pada pendapat saya, Ismail Faruqi boleh mengisi kekosongan itu. Begitu juga dengan Gurusamy. Tetapi terpulanglah kepada perancangan Rajagobal, saya percaya Amar Rohidan akan digandingkan dengan Ismail kerana Malaysia perlu menyerang dan memburu gol. Gurusamy lebih sesuai sebagai pemain tengah pertahanan,” jelasnya.

Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>