Harimau kembali mengaum
- Sukan SEA 2011: Malaysia 2-1 Thailand
HARIMAU Muda kembali mengaum. Selepas hambar diikat Singapura, Malaysia mencipta kemenangan pertama ke atas Thailand 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A Sukan SEA XXVI di Jakarta, semalam untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir, seterusnya di landasan tepat mempertahankan pingat emas temasya dwitahunan itu.
Pada saingan di Gelora Bung Karno semalam, skuad Bawah 23 kendalian Ong Kim Swee tampil mempamerkan corak lebih meyakinkan berbanding aksi pertama Isnin lalu, dengan gerakan pantas dan beberapa gerakan jaringan yang kemas.
Kemasukan perancang 17 tahun, Nazmi Faiz jelas memberi perubahan mendadak kepada pergerakan jentera tengah dan Kim Swee berharap kecederaan dialami pemain itu pada babak kedua semalam, tidak serius.
Video: Malaysia 2-1 Thailand | All Goal
“Nazmi baru berusia 17 tahun tetapi permainannya bertaraf antarabangsa,” kata Kim Swee sejurus tamat perlawanan. “Dia terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan tetapi saya yakin ia tidak serius.
“Kami mempunyai tempoh empat hari untuk persiapan menentang Kemboja dan saya harap ia cukup untuk pemulihan pemain. Kemboja bukan pasukan mudah dan waktu rehat panjang ini bakal membantu kami.”
Saya tak sangka: Izzaq
Pada perlawanan semalam, Kim Swee menyenaraikan Nazmi dalam kesebelasan pertama dan fungsinya di depan barisan pertahanan banyak membantu pasukan dalam mengatur serangan ke kubu Thailand.
Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama negara pada minit ke-25 tetapi kelalaian seketika membolehkan barisan dikendalikan jurulatih Prapol Pongpanich menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi rembatan Natarid Thammarossopon.
Namun percaturan Kim Swee memasukkan Izzaq Faris Ramlan untuk bergandingan dengan Ahmad Fakri Saarani pada baki 10 minit sebelum tamat, membuahkan hasil apabila penyerang tinggi lampai itu meledak gol kemenangan dengan sepakan lencong kaki kiri yang menarik pada minit ke-85.
“Saya tidak sangka akan diturunkan hari ini (semalam) dan peluang beraksi itu saya gunakan sebaik mungkin. Saya lebih gembira dapat menjaringkan gol dan ini baik untuk karier saya,” kata Izzaq.
November 10, 2011 - 11:33 pm
Kalau menang orang surat khabar untung Kalau kalah pun
masih lagi untung..ayat mesti orang suka baca dan geram …jadi tulah kena main molek biar sama-sama beruntung.