Malaysia pamer prestasi cemerlang

Malaysia vs Singapura Sukan SEA 2011

  • Sekalipun sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura

Biarpun perlawanan sulung sekadar diikat tanpa jaringan oleh Singapura, jurulatih Ong Kim Swee menyifatkan skuad bawah 23 tahun negara bimbingannya, tetap menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Kata beliau, anak buahnya masih mampu menguasai perlawanan lebih baik daripada lawan dan sentiasa bersikap positif untuk mencari jaringan dan tiga mata dalam aksi Kumpulan A bola sepak Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 itu.

“Kami sangat positif dengan permainan hari ini. Saya mengakui pasukan Malaysia telah mengawal permainan dengan baik sekali jika dibandingkan dengan Singapura,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Bagaimanapun Kim Swee mengakui anak buahnya selepas ini tidak lagi boleh berpuas hati dengan keputusan sebegitu mahupun untuk mengambil ringan dengan lawan berikutnya, terutama Thailand, esok.

Katanya, lawan tersebut pastinya memiliki kemampuan yang berbeza apatah lagi pernah merangkul pingat emas Sukan SEA lapan kali berturut-turut sejak temasya di Singapura 1993 hingga Korat 2007.

“Mungkin tahap stamina mereka juga berbeza, sekali gus menuntut kerjasama pasukan dan tumpuan pemain yang lebih dalam memastikan kemenangan sulung kita,” katanya.

Ditanya kegagalan penyudah oleh Baddrol Bakhtiar, Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, semalam, kata Kim Swee: “Sekurang-kurangnya kita masih memperoleh satu mata dan kami ada tiga lagi perlawanan untuk diberikan lebih perhatian.”

Mengenai sepakan penalti yang sepatutnya diperoleh Malaysia setelah Fandi Othman dijatuhkan pada babak kedua, ia hak peribadi pengadil.

“Itu hak seorang pengadil untuk menentukan sepakan penalti, termasuk buat Malaysia tetapi bagi pandangan saya, ia sepatutnya penalti.”

Pemain negara katanya, sudah bersedia sejak awal lagi dari aspek ketahanan mental, termasuk dalam berdepan sorakan atau ejekan provokasi penyokong dan penonton Indonesia yang mungkin masih mendendami kekalahan pasukan negara itu pada Piala Suzuki AFF, tahun lalu.

“Awal-awal lagi kami sudah menjangka bahawa penonton Indonesia tidak akan menyokong Malaysia dan kepada kami, ia bukan masalah sebaliknya sorakan mereka menjadi motivasi untuk kami bermain lebih baik,” katanya lagi. – Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>