Aidil kembali terajui benteng Malaysia

BENTENG pertahanan skuad kebangsaan dijangka kembali kukuh apabila Aidil Zafuan Radzak bakal diturunkan pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada Khamis ini setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

Berdasarkan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam, Aidil, 24, berkemungkinan besar bakal bergandingan dengan Fadhli Shas di posisi pertahanan tengah.

Menurut Aidil, apa yang kurang pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu, barisan pertahanan negara agak kelam-kabut ketika menerima asakan Singapura sehingga akhirnya bolos sebanyak lima gol.

“Memang dalam situasi sekarang apabila barisan pertahanan dibolosi banyak gol dalam beberapa perlawanan terakhir, ia satu tugas berat untuk kami kembali pada keadaan sebenar.

“Cuma sebagai pemain yang memerhatikan perlawanan Sabtu lalu dari tempat duduk penonton, saya boleh beritahu apa sepatutnya kami perlu lakukan.

“Kita sebenarnya perlu beraksi dengan lebih tenang dan jangan kelam-kabut,” kata Aidil ketika ditemui selepas sesi latihan petang semalam.

Aidil yang bakal kembali mengambil alih tugas sebagai kapten pada aksi Khamis ini turut menyatakan bahawa tiada kelebihan sebenarnya dimiliki oleh skuad Singapura.

“Tiada istimewa pun skuad mereka. Kalau ikutkan, kita main lebih laju. Cuma kita sendiri yang tunjuk kelemahan kita kepada mereka.

Jadi kita perlu bermain dengan corak permainan sebenar.

“Tentang Aleksandar Duric, memang kelebihan dia pada fizikal dan pergerakan tubuh tetapi saya sudah banyak kali berdepan dengannya dan tahu menjaganya,” tegas Aidil. — KOSMO

Aidil Zafuan bersedia diturunkan

Bakal pengganti Safiq Rahim sebagai ketua pasukan dalam skuad kebangsaan menjelang perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura Khamis ini semakin terjawab apabila Aidil Zafuan Abd. Radzak menyatakan kesediaan untuk beraksi semula.

Menurut Aidil, dia sudah bersemangat untuk beraksi sejak Sabtu lalu, selepas diberitahu akan diturunkan tetapi nasibnya tidak baik apabila kecederaannya berulang semula sehari sebelum perlawanan tersebut.

“Saya dinasihatkan oleh fisioterapi supaya berehat dan tidak diturunkan. Sebelum itu saya sangat bersemangat untuk beraksi tetapi sekarang ini juga saya tetap bersemangat dan harap 100 peratus sembuh menjelang Khamis ini,” katanya selepas latihan, semalam.

Bagaimanapun Aidil sendiri tidak terfikir sama ada dia akan diberi tanggungjawab dan beraksi Khamis ini, namun jika diturunkan dia hanya fokus untuk membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan.

“Siapa yang bakal menjadi ketua pasukan tidak penting tetapi semua pemain perlu bersedia supaya beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut, terutama sekali memberi perhatian kepada pemain naturalisasi Singapura.

“Tumpuan yang lebih harus diberikan kepada pemain seperti Aleksandar Duric yang saya anggap sebagai pemain yang berbahaya kerana beberapa kali pernah bertembung dengannya sebelum ini termasuk ketika di peringkat kelab,” katanya.

Aidil berkata, tidak ada yang istimewa buat pemain Singapura yang lain kecuali pemain naturalisasi mereka, malah dia yakin kelebihan masih terletak kepada Malaysia walaupun tewas perlawanan pertama 3-5.

Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>