Artikel 88: Taufik sahkan Rajagobal bakal didakwa
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengeluarkan surat pertuduhan ke atas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal yang didakwa melanggar Artikel 88 Statut FAM, minggu depan.
Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan media mengenai FAM.
Pengerusi Jawatankuasa Tata Tertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengeluarkan surat pertuduhan kepada jurulatih berusia 56 tahun itu kerana didakwa mengkritik polisi badan induk bola sepak negara itu.
“Kita mempunyai merit untuk menghantar surat pertuduhan kepada beliau (Rajagobal) kerana melanggar Artikel 88 selain turut meneliti laporan beberapa akhbar tempatan mengenai kenyataan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, Rabu.
Taufik berkata prosedur sama akan turut digunakan dalam kes Rajagobal bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Surat pertuduhan akan dihantar kepada Rajagobal dan beliau perlu menjawabnya dalam tempoh yang akan ditetapkan Jawatankuasa Tata Tertib.
“Beliau perlu menjawab surat berkenaan bersama Borang A (pengakuan bersalah) dan Borang B (pengakuan tidak bersalah),” katanya.
Rajagobal sebelum ini dilaporkan berkata kekalahan 1-4 skuad Harimau Malaya di tangan Arab Saudi pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lepas disebabkan kekurangan sifat-sifat penyerang semula jadi dalam pasukan kendaliannya.
Beliau dikatakan turut mengaitkan kekalahan skuad bimbingannya itu dengan lambakan pemain import dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini.
- BERNAMA
Kritik FAM: Rajagobal akan dihukum?
KUANTAN: Jurulatih Malaysia, K. Rajagobal pasti dihukum seperti individu lain sebelum ini jika didapati sah mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Teguran keras itu disuarakan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang beranggapan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu tidak harus membuat kenyataan yang boleh mengundang padah kepada dirinya selepas menyoal isu kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM itu menambah andai benar kenyataan berkenaan seperti dikatakan Rajagobal, jurulatih terbabit tidak akan terlepas berdepan hukuman sama mengikut Artikel 88.
“Jika terbukti K. Rajagobal bersalah hukuman sedia ada menanti sama seperti dikenakan kepada individu lain yang secara sengaja mengkritik FAM secara terbuka.
“Perkara ini tidak seharusnya keluar daripada mulut jurulatih berkenaan kerana bola sepak negara kini di era profesional yang memerlukan tenaga pemain import,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau menambah, Rajagobal harus memanfaatkan sepenuhnya kemahiran pemain sedia ada untuk memantapkan pasukan.
Di samping itu, ujar beliau, barisan yang tewas kepada Arab Saudi tempoh hari juga hampir sama dengan skuad dibimbing jurulatih itu ketika menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010.
Sementara itu, bekas jurulatih Malaysia, Wan Jamak Wan Hassan, berkata Rajagobal harus lebih bertanggungjawab dan bukan menjadikan pemain sebagai kambing hitam gara-gara kekalahan 1-4 di tangan Arab Saudi.
Sebaliknya, Wan Jamak menegaskan bahawa Rajagobal seharusnya sudah mempunyai pasukan bayangan dan bukan terus membuat ekperimen menjelang misi getir bertemu Yaman dalam kelayakan Piala Asia 2015 hari ini.
“Saya mahu komen lebih pun tidak boleh kerana beliau lebih tahu pasukan kendaliannya.
“Tetapi sepatutnya tidak perlu lagi hendak menguji dan menggantikan terlalu ramai pemain,” katanya.
Mengenai isu pemain import, Wan Jamak menambah:
“Dengan kehadiran pemain-pemain import, kebanyakan pemain penyerang setempat sukar mendapat tempat dalam pasukan masing-masing.
“Sebenarnya, kita ada pemain yang berbakat tetapi jika kurang bermain, prestasi mereka juga akan menurun,” katanya. - Harian Metro/BHM.
March 28, 2013 - 12:52 pm
satu demi satu. ohh..
March 28, 2013 - 2:05 pm
Buang…jer kingsagupal….ni!!!
March 31, 2013 - 9:52 pm
korang ingat tak …dalam akhir tahun lepas….tengku abdullah ada komen pasal pasukan mesia kat paper…KENAPA DIA BOLEH LEPAS…ADAKAH SEBAB DIA ANAK PRESIDEN. so moralnya …FAM adalah 2 darjat
April 1, 2013 - 11:14 am
ini semua konspirasi untuk melantik Roberto Di Matteo jadi jurulatih Harimau Malayas!!.. lamo doh dia tanam anggur…