Rajagobal ada hak bersuara - Subahan
LEBIH baik berterus-terang daripada menyembunyikan krisis yang berlaku dalam skuad Harimau Malaya.
Itu pandangan pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal berhubung kenyataan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang didakwa mengkritik lambakan pemain import dalam saingan Liga Malaysia sehingga menyebabkan kekurangan penyerang tempatan yang berwibawa.
Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, kenyataan seperti itu bukannya mengkritik, sebaliknya satu pendapat membina yang wajar diterima semua pihak.
Menurutnya, kenyataan Rajagobal tidak melanggar Artikel 88 Statut FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung badan induk itu sahaja yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini.
“Sebagai jurulatih, beliau (Rajagobal) berhak memberikan pendapat membina.
“Ia bukannya kritikan. Bagi saya, ia tiada kena mengena (dengan Artikel 88),” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Semalam, akhbar melaporkan kekecewaan Rajagobal mengenai kekurangan penyerang berwibawa yang dimiliki skuad negara sejurus selepas dibelasah Arab Saudi 1-4 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Subahan memberitahu, kesemua pihak, terutamanya persatuan bola sepak negeri wajar meneliti pendapat Rajagobal dengan hati terbuka.
“Kita bukannya tiada penyerang langsung, sebaliknya penyerang berbakat semula jadi yang menjadi masalah utama pasukan kebangsaan.
“Bagi saya, setiap persatuan negeri perlu peka dengan perkara ini dalam melahirkan penyerang yang berbakat,” katanya.
Sementara itu, Rajagobal enggan menjadikan kontroversi itu mengganggu fokus beliau menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen di stadium sama, Jumaat ini.
“Saya hanya beritahu apa masalah pasukan saya selepas ditewaskan Arab Saudi.
“Jika masalah berpunca daripada benteng pertahanan, itulah yang akan saya katakan.
“Saya juga ada maruah sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kami mahukan kemenangan ketika bertemu Yemen,” jelas Rajagobal.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud memberitahu, isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat badan induk itu minggu depan.
“Kami akan menilai semula kenyataan Rajagobal sebelum membuat tindakan susulan (sama ada melanggar Artikel 88 ataupun tidak),” katanya ringkas.
- Kosmo
March 20, 2013 - 11:34 am
syg betul kat gopal ni. heran aku FAM ni
http://www.bankami.blogspot.com
March 20, 2013 - 1:24 pm
tunggu dan lihat aje.
March 20, 2013 - 5:17 pm
Kalau xde peyerang nape sampai bolos 4 gol. xpaham aku ngan dorang nih..apa2 selamat maju jaya..semoga korang terima dengan apa yang korang dah buat..
Pingback: Tanggungjawab Rajagobal mantapkan kemahiran pemain - Tengku Abdullah | Sokernet
March 24, 2013 - 4:57 pm
memang betul HM tiada striker menjadi.Go petama melawan Yemen gol nasib aja.Budak2 pun bolih score gol sedemikian.