PERTEMBUNGAN dua gergasi Pantai Timur pada final Piala FA 11 Jun ini menuntut pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan aspek keselamatan.

Kelantan dan Terengganu yang bertemu buat pertama kali di pentas final saingan berkenaan, dijangka menarik minat ramai penyokong untuk memenuhi stadium bola sepak terbaik negara yang mampu memuatkan 100,000 penonton.

FAM mengumumkan semalam, 85,000 tiket akan dijual bermula 6 Jun di Kelantan dan Terengganu, dengan setiap negeri diperuntukkan 30,000 tiket, manakala baki 25,000 dijual di Stadium Nasional pada 10 Jun, bermula jam 9 pagi.

“Kami faham emosi penyokong kedua-dua pasukan cukup tinggi menjelang final kali ini, tetapi jangan sampai insiden tidak diingini berulang,” kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Salleh Mohd Rashid, semalam.

“Pihak stadium, FAM dan Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang hari pertandingan. Kami juga menambah anggota bertugas kepada 2,430 orang sambil dibantu 400 anggota RELA.

“Kami berharap budaya liar seperti membaling mercun dan sinar laser tidak berlaku pada perlawanan kali ini. Penyokong diminta mempamerkan semangat kesukanan dan disiplin tinggi demi nama baik bola sepak negara.”

FAM juga akan memastikan tiada penonton masuk menggunakan tiket palsu dengan pemantauan ketat diadakan di setiap pintu masuk. Tiket dijual pada harga RM50, RM30 dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. — Berita Harian




coded by nessus

Main topics: Piala FA

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)