Piala AFC: Terengganu tekad 3 mata penuh di laman sendiri

MENJELANG pertembungan Piala AFC berdepan kelab Kitchee FC dari Hong Kong petang ini, pasukan Terengganu pimpinan Mat Zan Mat Aris bertekad mengukir kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jelas satu kelebihan yang tidak harus dipersia-siakan penyandang juara Piala FA musim lalu itu.

Menurut Mat Zan, biarpun anak didiknya bakal bermain di sebelah petang, itu bukan alasan untuk tidak menyajikan persembahan bertenaga.

“Saya tak tahu lagi kekuatan sebenar pasukan lawan. Namun, difahamkan terdapat tiga pemain import membarisi kelab dari Hong Kong itu. Kami tidak akan bermain secara terbuka seperti menentang Sabah tempoh hari.

Sebaliknya, kami mahu tampil lebih agresif bagi memburu tiga mata penuh,” katanya yang menagih sentuhan magis penyerang import, Francis Forkey Doe supaya meneruskan momentum jaringan.

Terengganu dan Kitchee FC kini berkongsi tiga mata dalam Kumpulan F, selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan pertama, 6 Mac lalu.

Musim ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menetapkan matlamat dapat melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan kedua selepas pertama kali menjejakkan kaki dalam saingan Piala AFC.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>