Perak ikat empat pemain kebangsaan


Abdul Hadi Yahya

Empat pemain kebangsaan, Mohd Farizal Marlias, Abdul Hadi Yahya, Yong Kuong Yong dan V Thirumurugan adalah antara 13 pemain import tempatan yang akan menyarung jersi Perak dalam kancah bola sepak Liga Super musim 2013 nanti.

Kedatangan mereka ke Perak disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin pada majlis menandatangani kontrak sempena Kongres ke-54 persatuan itu di Ipoh, semalam.

Farizal adalah penjaga gol Negeri Sembilan, Hadi (Terengganu), Kuong Yong (FELDA United) manakala Thiru (Kedah).

Abdul Hadi yang menjaringkan 24 gol pada musim 2011 akan digandingkan dengan penyerang lincah, Mohd. Failee Ghazali.

“Kehadiran keempat-empat pemain itu merupakan permulaan Perak untuk membentuk sebuah skuad yang lebih mantap berbanding musim lalu,” jelas Zainol selepas Kongres Pafa Ke-54 di sini, semalam.

Perak yang dibimbing Norizan Bakar menduduki tangga keempat Liga Super, posisi yang gagal menepati cita-cita Pafa yang menyasarkan kedudukan tiga teratas liga.

Sebelum ini, Perak menggugurkan 13 pemain termasuk bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang berbisa, Muhammad Shafiq Jamal.

Difahamkan beberapa pemain ternama yang sedang beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia turut menjadi perhatian Perak.

Dalam pada itu Pafa mempelawa mana-mana bekas pemain Liga Super dan Piala Presiden dari negeri lain untuk menjalani ujian pemilihan pasukan Perak pada 20, 21, 27 dan 28 Oktober ini.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih, Zainol berkata, Pafa sedang menimbangkan beberapa calon tempatan dan luar negeri.

Sebelum ini, jurulatih dari Korea, Jang Jung menjadi ketua jurulatih dalam aksi Piala Malaysia menggantikan Norizan Bakar.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>