Rangkuman Liga Super Match #15
Kelantan 1-0 Selangor
(Stadium Sultan Muhammed Ke-IV)
KELANTAN melebarkan rekod cemerlang ke atas Selangor sejak musim lalu. Gol tunggal Norshahrul Idlan Talaha memastikan Red Warriors merapatkan jurang dengan Red Giants kepada hanya dua mata. Kemenangan penuh bermakna buat anak buah Datuk M Karathu apabila perlawanan tumpuan ini turut disaksikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammed Ke-V.
Kekalahan turut menyaksikan Selangor dihimpit satu lagi pasukan Pantai Timur, Terengganu dengan perbezaan hanya satu mata dan kedua-dua pasukan bakal bertemu esok di Kuala Terengganu. Satu lagi ujian getir buat anak buah K Devan.
Sabah 1-2 Terengganu
(Stadium Likas)
PASUKAN Gary Philips gagal mencari kemenangan pertama sejak 9 April lalu apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut. Sang Badak perlu melakukan sesuatu untuk mengelak terjerumus ke Liga Perdana.
Kemenangan menyaksikan Terengganu terus menghimpit pendahulu liga, Selangor. Aksi konsisten anak buah Irfan Bakti sejak akhir-akhir ini menyaksikan Skuad Penyu kini hanya satu mata di belakang Selangor dan mungkin peminat penyu meraikan sesuatu apabila kedua-dua pasukan teratas liga itu membuat perhitungan di Kuala Terengganu esok.
T-Team 3-1 Kedah
(Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah)
JURULATIH T-Team, Yunus Alif sudah pasti menarik nafas lega selepas anak buahnya berjaya menumbangkan Sang Kenari. Ia sekurang-kurangnya meredakan tekanan akibat desakan penyokong berikutan prestasi hambar T-Team sejak kebelakangan ini.
Tiba-tiba prestasi Kedah merudum. Skuad Kenari kehilangan enam mata penting dalam dua aksi terakhir sekaligus menyaksikan Perak kembali mengambil alih tangga keempat Liga Super.
Perak 5-3 Kuala Lumpur
(Stadium Ipoh)
SELADANG benar-benar mengamuk kali ini. Pasukan Yob segera bangkit selepas menerima aib di Kuala Terengganu pada Sabtu. Kemenangan yang menyaksikan anak buah Norizan Bakar memintas Kedah untuk berada di tangga keempat ketika ini.
Pasukan warga kota pula terus mencari formula untuk mengulangi aksi cemerlang ketika menewaskan T-Team 3-1 pada 16 April lalu. Walaupun berjaya membolosi gawang lawan sebanyak tiga kali, ia tetap gagal memberi sebarang mata buat anak buah Razip Ismail.
Harimau Muda A 1-1 Negeri Sembilan
(Stadium Shah Alam)
SELEPAS bergaya membenam Kedah dalam aksi tegang di Alor Setar Sabtu lalu, rentak kemenangan anak buah Ong Kim Swee terbantut apabila diikat Negeri Sembilan dalam perlawanan ini. Sedikit kesilapan meranapkan impian tiga mata penuh barisan Harimau Muda.
Mohd Azraai Khor tetap boleh berbangga kerana kunjungan pasukannya ke Shah Alam tidak sia-sia apabila berjaya membawa pulang satu selepas tertinggal satu gol di belakang.
Perlis 1-2 Pahang
(Stadium Utama Kangar)
BEKAS juara Liga Super 2005 makin kurang bermaya untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini. Untuk rekod, Perlis sudah tewas 10 daripada 15 aksi liga setakat ini dan muncul pasukan paling banyak dibocori lawan iaitu 34 gol.
Kemenangan yang menggembirakan buat Dollah Salleh selepas anak didiknya memungut tiga mata penuh selepas aksi terumbang ambing sebelum ini.
Felda United 0-0 Johor FC
(Stadium PBKL Cheras)
SATU-SATUNYA perlawanan yang gagal menghasilkan sebarang jaringan. Anak buah E Elaverasan sudah mencatat dua keputusan berturut-turut, namun kedudukan mereka di tangga keenam liga tidak berganjak.
Johor FC pula terus menyerlahkan status mereka sebagai pasukan ‘pakar seri’, menyerlahkan kelemahan barisan depan pasukan dari Selatan tanah air ini.
April 28, 2011 - 4:39 pm
selangor doh keno…tunggu nok belasoh perok pulok pah ni…