Bakar bendera: Kelab Penyokong N9 mohon maaf, kutuk tindakan

WALAUPUN hanya dilakukan seorang penyokong, namun Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) mengambil tanggungjawab memohon maaf kepada seluruh Rakyat Kelantan berhubung insiden bendera Kelantan dibakar penyokong tidak bertanggungjawab selepas aksi Liga Super antara Negeri Sembilan menentang Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahma Paroi malam tadi.

Perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, namun ia diselubungi kontroversi apabila pengadil perlawanan membatalkan dua gol Kelantan kerana didakwa sebagai ‘ofsaid’. [LIHAT VIDEO]

Kenyataan Penuh Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan Insiden Bakar Bendera Kelantan

KAMI di pihak Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) memohon maaf kepada seluruh Rakyat Kelantan, kelab-kelab penyokong Kelantan, khasnya kepada penyokong setia mereka yang menyaksikan Perlawanan Bolasepak Liga Super diantara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi (10 Mei 2011) atas tindakan seorang penyokong yang membakar Bendera Kelantan sebaik tamat perlawanan.

Provokasi melampau ini dipercayai berpunca dari ketidakpuasan hati Si Pelaku terhadap penyokong Kelantan yang masih tidak berganjak dari tempat duduk penonton sambil melakukan provokasi terhadap pegawai perlawanan, pasukan keselamatan dan polis sebaik tamat perlawanan.

Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bertamadun tersebut yang secara terang menyalahi undang-undang, tatasusila, budaya dan tamadun manusia. Kami juga menafikan bahawa Si Pelaku adalah ahli Kelab e-Penyokong (n9futbol.com) kerana kami duduk di kawasan berhadapan bangku simpanan pasukan Negeri Sembilan. Kami juga percaya komuniti-komuniti penyokong bolasepak yang lain seperti Ultras Negeri Sembilan (UN9) atau Penyokong Setia Negeri Sembilan (PSNS) dan lain-lain komuniti dari seluruh Negeri Sembilan mengutuk provokasi melampau ini.

Walau bagaimanapun, atas semangat kesukanan, penuh sedar dan tanggungjawab, kami mengambil kesempatan sekali lagi mengutuk tindakan tersebut dan menyerahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

AHMAD ZAINI BIN BAHARUN
Presiden Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan
(n9futbol.com)

11 Mei 2011

Video Laporan Buletin Utama TV3