Aksi Separuh Akhir 1 Piala Malaysia 2013
Pahang 3-1 Sarawak
Misi menamatkan kemarau penantian 16 tahun untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan buat Pahang yang membawa bekalan dua gol berharga untuk menumbangkan Sarawak 3-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, semalam.
Anak jati Pahang yang berasal dari Kuala Lipis, Azamuddin Akil, menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan 32 dengan satu lagi gol dicipta Matias Conti pada minit ke-37 bagi meletakkan Pahang sebagai salah satu calon utama yang akan bersaing di perlawanan akhir, 3 November depan.
Sarawak bagaimanapun masih mampu mencuri satu jaringan di tempat lawan melalui ketua pasukan Mohd. Shahrol Saperi pada minit ke-39 bagi memastikan skuad Bujang Senang masih berpeluang mengatasi defisit dua gol di Stadium Negeri, Kuching, 26 Oktober ini.
Ketinggalan dua gol selepas tewas 1-3 kepada Pahang pada separuh akhir pertama di Stadium Darulmakmur, kelmarin sedikitpun tidak menjejaskan emosi Jurulatih Sarawak, Robert Alberts untuk bangkit di tempat sendiri, Sabtu ini.
Sambil menyifatkan jurang dua gol tidak terlalu besar, Alberts mempunyai alasan untuk memadam kerisauan kerana skuad bimbingannya mempunyai peluang untuk mara ke final.
“Dua gol bukan terlalu besar apatah kali kita akan beraksi di tempat sendiri. Kami mempunyai rekod cemerlang di Stadium Negeri berdasarkan perlawanan lalu.
“Pemain masih mempunyai peluang dan jurang dihadapi bukanlah masalah untuk pemain. Saya percaya mereka mampu ditambah sokongan padu penyokong kami kali ini,” katanya.
Ngap Sayot memiliki rekod bersih di laman sendiri sepanjang Piala Malaysia musim ini apabila tidak pernah tewas.
ATM 1-2 Kelantan
Kegagalan menyempurnakan peluang di awal permainan memaksa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa berputih mata di laman sendiri dan bakal menempuh laluan berduri pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat depan.
Pemain tengah The Gladiators, Bruno Martelotto mengakui, jika mereka yang terlebih dahulu membuka jaringan, dia yakin pasukannya mampu bergelar pemenang dan membawa bekalan lebih menyakinkan ke Kota Bharu.
Namun, pemain kelahiran Argentina itu menegaskan, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, apatah lagi pada kunjungan terakhir di Kota Bharu, ATM pulang bersama kemenangan 3-1.
Kelantan mungkin memegang kelebihan dengan memenangi saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, namun pengendali mereka, Bojan Hodak mengakui kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan catatan yang selesa.
Malah, jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, anak-anak buahnya sepatutnya membawa jaringan yang lebih besar di Stadium Majlis Perbandaran Selayang melihat kepada serangan hebat yang diatur ke atas skuad The Gladiators.
Biarpun mengakui pertarungan itu tidak mudah, namun pasukannya memiliki banyak peluang terhidang dan gagal memanfaatkannya.
Luahan Perasaan