Aksi sengit Selangor, Kelantan
SAINGAN Liga Super musim ini sudah hampir melabuhkan tirainya dengan baki lima perlawanan untuk ditempuh oleh kesemua 14 pasukan yang bertanding.
Menariknya, musim ini menyaksikan saingan sengit antara dua jaguh bola sepak tempatan iaitu Kelantan dan Selangor dalam merebut kejuaraan liga hingga ke detik penghujung. (Perlawanan boleh diiukuti secara LIVE menerusi saluran 801, Astro Arena)
Dibezakan hanya lima mata, pertemuan kedua-dua pasukan malam ini boleh diibaratkan sebagai perlawanan penting yang akan menentukan siapakah yang layak untuk membawa pulang kejuaraan musim ini.
Bagi Kelantan, seandainya mereka menang pada perlawanan malam ini, peluang untuk mencabar kejuaraan Liga Super kembali cerah kerana hanya dibezakan dengan dua mata sahaja sambil mengharapkan Selangor tewas atau seri dalam baki perlawanan seterusnya.
Pastinya perlawanan ini ditunggu-tunggu oleh seluruh penyokong setia kedua-dua pasukan.
Perlawanan ini juga bukan sahaja menghidangkan aksi menarik dari kedua-dua pasukan, selain gelagat fanatik penyokong tetapi bakal mempertaruhkan kredibiliti dua nama besar dalam arena bola sepak negara iaitu B Sathianathan (Kelantan) dan K Devan (Selangor).
Berdasarkan rekod pertemuan musim lepas, ia lebih memihak kepada Selangor yang mana mereka menang 3-0 di Shah Alam pada perlawanan pusingan kedua Liga Super.
Musim ini pula kedua-dua pasukan hanya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan di Kota Bharu, awal Mac lalu.
Tugas berat pastinya menanti ketua jurulatih Kelantan, Sathianathan apabila kepakaran dan sentuhannya ditagih oleh seluruh peminat setia Wira Merah untuk membawa pulang tiga mata dari Shah Alam dalam usaha untuk menyekat Selangor untuk dinobat sebagai juara liga.
Sathianathan berkata, perlawanan malam ini ibarat perlawanan akhir yang akan menentukan pasukan mana bakal dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.
Menurut beliau, segala persiapan pasukannya untuk perlawanan ini berjalan lancar sejak bulan lalu.
“Saya minta semua pemain supaya memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan malam ini dan bermain mati-matian seolah-olah perlawanan akhir.
“Semua pemain yang bakal diturunkan cergas sepenuhnya termasuklah pemain penyerang. Nor Shahrul Idlan Talhah yang mengalami kecederaan ketika bertemu Negeri Sembilan, Selasa lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu, pasukannya tetap berwaspada dengan keupayaan pasukan lawannya itu.
“Selangor sebuah pasukan yang hebat musim ini. Kekalahan tipis 0-1 kepada Perak dianggap sebagai nasib kurang baik kerana mereka turut mempunyai peluang menjaringkan gol pada perlawanan itu.
“Saya yakin mereka pasti akan bangkit mencipta kemenangan di tempat sendiri setelah tewas di Ipoh tempoh hari. Saya sempat menonton rakaman perlawanan Perak dengan Selangor sebanyak tiga kali, apa yang saya nampak persembahan Selangor tidak teruk bahkan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol,” katanya.
-Laporan asal: UTUSAN MALAYSIA
Luahan Perasaan