MESKIPUN turun tanpa jurulatih serta tiga tonggak utama, Selangor tetap mahu membuktikan bahawa situasi tersebut bukan halangan besar dalam usaha memburu kejuaraan Liga Super musim ini.
Selangor yang dijadual berdepan KL Plus di Stadium Shah Alam malam ini, terpaksa melupakan khidmat Hardi Jaafar, Safee Sali dan Razman Roslan yang dikenakan hukuman penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.
Selain tiga pemain tersebut, jurulatih K Devan turut digantung ekoran tindak balas mereka terhadap pengadil, Ibrahim Mohamad dan penjaga garisan, Kamil Tumin yang gagal melihat insiden pemain Negeri Sembilan, Shukor Adan menampan bola menggunakan tangan ketika separuh akhir Piala FA di Paroi pada 3 April lalu.
Bagaimanapun Devan menjelaskan, situasi tersebut tidak akan menjejaskan rentak cemerlang Selangor musim ini dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super yang turut dimenangi mereka musim lalu.
“Ia tidak menjejaskan tumpuan para pemain, sebaliknya mereka kini sudah tidak sabar untuk menamatkan saingan musim ini dengan kejayaan.
“Perlawanan menentang KL Plus esok (hari ini) bakal menjadi kayu pengukur buat barisan pemain Selangor membuktikan bahawa mereka kini mampu menghadapi segala tekanan dalam usaha pemburuan kejuaraan liga,” jelas Devan.
Mengulas mengenai pertembungan menentang KL Plus, Devan tetap mahu mengambil sikap berhati-hati dengan menganggap barisan bimbingan Mat Zan Mat Aris itu telah mempamerkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Tags: KL Plus, Liga Super, Prebiu, Selangor