SEKALIPUN buruan kejuaraan semakin tipis, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti tetap menuntut semangat tinggi daripada anak- anak buahnya untuk menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan penuh bergaya.
Malah, Irfan juga mahu skuad Penyu itu mengekalkan rekod cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini apabila melayan kunjungan pasukan kedua tercorot, Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Terengganu menjaringkan sembilan gol dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini masing-masing ketika membelasah Johor FC 4-0 di Kuala Terengganu dan membenam Pahang 5-0 di Kuantan minggu lalu.
“Ini adalah pencapaian terbaik yang pernah dipamerkan pemain- pemain saya.
“Dengan sembilan gol yang dijaringkan daripada dua perlawanan, saya rasa ia satu rekod yang perlu dibanggakan.
“Saya harap mereka dapat meneruskan rentak cemerlang ini, walaupun pada dasarnya kami tidak boleh terlalu mengambil mudah perlawanan menentang Johor malam esok (hari ini),” jelas Irfan.
Dengan dua kemenangan berturut-turut itu, Terengganu kini menduduki tangga ketiga liga dengan 44 mata, 10 mata di belakang pendahulu, Selangor ketika saingan Liga Super hanya berbaki empat perlawanan.
“Mungkin peluang kita untuk mengejar Selangor agak sukar tetapi kami masih boleh memintas Kelantan yang berada di tangga kedua.
“Dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan kejayaan menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik musim ini merupakan suatu pencapaian hebat buat kami,” jelasnya.
Begitupun, Irfan tetap memberi peringatan kepada semua pemainnya agar tidak terlalu bergantung kepada Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat untuk menjaringkan gol.
Baginya, semua pemain perlu menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol bagi memberi kelebihan kepada pasukan.
“Saya kagum dengan peningkatan yang dipamerkan oleh K. Rajan yang kini telah menjaringkan empat gol. Dia telah beraksi dengan baik dalam dua perlawanan terakhir dan berjaya menjaringkan gol,” ujarnya yang tetap tidak bimbang dengan kekuatan pasukan yang kehilangan khuidmat Zairo Anuar Zailani.
Tags: Johor, Liga Super, Prebiu, Terengganu