Wednesday, 02/12/2020


Reputasi Selangor tidak gentarkan Perak

Published on April 16, 2010 by   ·   No Comments

REPUTASI Selangor selaku pasukan elit tidak membimbangkan Perak apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam kancah Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bagi jurulatih Seladang, Raja Azlan Shah Raja Shuib walaupun lawan ditemui memiliki ramai pemain bertaraf bintang tetapi ia bukan sebab untuk anak buahnya berasa gentar atau pun ‘kecut perut’.

“Pengalaman pertemuan lalu akan dijadikan sandaran untuk kesebelasan Perak apabila kami ke Shah Alam nanti. Justeru saya berharap pemain tidak berasa gugup atau gementar biarkan kami mungkin berdepan ranjau dan liku malam ini,” kata jurulatih itu.

Menurut Raja Azlan, kecuali penjaga gol utama, Khairul Izwan Jamaluddin yang tidak dapat diturunkan kerana penggantungan, Perak masih memiliki pasukan seimbang untuk menghadapi cabaran anak buah, K Devan nanti.

Khairul digantung gara-gara bertindak agresif terhadap pengadil di akhir perlawanan liga dengan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan sebelum ini.

Justeru Raja Azlan berharap anak buahnya yang terdiri daripada pemain muda mengawal perasaan agar tidak menghadapi sebarang `masalah’ dengan pegawai perlawanan pada masa akan datang.

Mengenai pertemuan malam ini, jurulatih itu berharap anak buahnya mempamer aksi terbaik mereka dalam usaha menyaingi kemampuan pasukan Merah Kuning itu.

“Pertemuan lalu dengan Selangor sering menyaksikan pertarungan sengit. Justeru saya berharap pemain Perak mampu mempertingkatkan permainan mereka. Jika itu dapat dilakukan maka peluang untuk menyaingi Selangor tetap ada,” katanya. - Berita Harian




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News