MENJELANG pertemuan menentang Kelantan malam ini, jurulatih KL Plus, Mat Zan Mat Aris cuba merendah diri dengan menganggap skuad Red Warriors sebagai lawan yang sukar ditundukkan.
Kelantan juga kata Mat Zan dijangka bakal mempunyai kelebihan dari segi sokongan peminat-peminat setianya yang sudah tentu bakal membanjiri Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya nanti.
Selain itu beliau juga agak bimbang ketiadaan Nizaruddin Yusof bakal merencatkan ketajaman penyudah anak-anak buahnya untuk menembusi benteng skuad Kijang yang diakui memiliki rekod paling kental berbanding pasukan lain.
Begitu pun KL Plus dilihat berada pada prestasi memuncak ketika ini ekoran kejayaan cemerlang menundukkan Kedah 3-2 di Alor Setar Selasa lepas.
Justeru itu ketua jurulatih Kelantan B Sathiananthan tidak akan memandang remeh mahupun berasa terlalu selesa menjelang pertemuan malam ini kerana menggangap prestasi KL Plus sukar diramal dan barisan pemainnya perlu lebih berhati-hati.
Beliau turut berharap kehadiran ramai penyokong Kelantan bagi memberikan semangat kepada semua pemain yang akan merasakan seolah-olah beraksi di arena sendiri.
Dalam pada itu menurut laman web rasmi KAFA, www.theredwarriors.com menyeru semua peminat bola sepak Kelantan untuk menyaksikan perlawanan menentang KL Plus ini.
“Melihat pada respon di Facebook dan laman forum jemputan supaya berkonvoi dari satu destinasi yang sama ke stadium MBPJ malam esok (malam ini) amat menggalakkan. Kami juga menyeru kepada semua kelab-kelab penyokong membawa sebarang alat bunyian seperti gendang, drum dan sebagainya bagi memeriahkan suasana perlawanan ini.
“Diharap kemenangan selesa dua perlawanan lepas tidak melalaikan para pemain The Red Warriors dalam menjalankan tugas penting esok. Misi kemenangan perlu diteruskan supaya memberi saingan sengit kepada Selangor dan Terengganu dalam mendaki kemuncak tangga liga.
“S Chanturu yang dilihat banyak mensia-siakan peluang pada selasa lepas perlu lebih bersedia dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sekiranya diberikan peluang dalam kesebelasan utama.
“Keserasian tiga trio utama Indra, Norshahrul dan Piya seolah-olah menjadi bom peledak berangkai yang sangat digeruni lawan dan ditambah kehebatan Daudsu, Farhan, Azizi yang boleh berfungsi sebagai bom yang sukar dijangka dan boleh meledakkan gol pada bila-bila masa sekiranya peluang terhidang,” menurut portal berkenaan.
Tags: Kelantan, KL Plus, Liga Super, Prebiu