Thursday, 24/09/2020


Sathianathan gesa pemain pamer aksi sebenar

Published on April 16, 2010 by   ·   No Comments

KETUA Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tetap menganggap Negeri Sembilan mempunyai kelebihan selaku tuan rumah pada pertemuan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

“Prestasi Negeri Sembilan kini berada di kemuncaknya dan mana-mana pasukan yang bermain di Paroi pasti menghadapi tugas sukar untuk mengalahkan mereka.

“Kejayaan menjulang Piala FA minggu lalu menambahkan lagi keyakinan moral pemain mereka,” katanya.

Tambah Sathia, pasukan di bawah kendalian Wan Jamak Wan Hassan terbukti sebuah pasukan yang cukup mantap di segenap posisi.

Katanya, faktor kejayaan Negeri Sembilan adalah kerana mengekalkan hampir keseluruhan pemain sedia ada dalam jangka masa yang lama.

“Anda dapat lihat bagaimana adunan pemain baru dan lama mereka telah bersama-sama dengan pasukan tersebut sejak tiga tahun lalu. Ini adalah resipi kejayaan mereka sehingga mampu merangkul Piala Malaysia musim lalu dan yang terbaru Piala FA.

“Mereka mempunyai beberapa pemain muda seperti K Thanaraj, S Kunanlan dan Shahurain Abu Samah yang telah diasuh sejak zaman Hatem Soussi mengendalikan pasukan itu,” ujarnya.

Begitu pun Sathianathan berkata, walaupun Kelantan menghormati keupayaan Negeri Sembilan tetapi itu bukan bermakna Kelantan boleh menyerah kalah sebegitu mudah.

“Walaupun kita menghormati kemampuan Negeri Sembilan, tetapi saya mahukan pemain Kelantan menunjukkan persembahan yang cemerlang pada pertemuan malam esok.

“Walaupun rekod pertemuan musim lalu tidak memihak kepada kita, kadang-kala sejarah pertemuan boleh kita ubah. Dalam bola sepak, apa-apa pun boleh berlaku. Kita mengharapkan ada kejutan yang akan berlaku di Paroi nanti,” katanya.

Sathianathan turut menamakan kapten skuad Rusa, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Mohd Shukor Adan antara pemain yang harus diberi perhatian oleh pemain Kelantan andai tidak mahu berputih mata di Paroi nanti.

Menyentuh mengenai persiapan terkini pasukan, Sathianathan berkata, pemain pertahanan, Zairul Fitree Ishak hampir pasti tersisih daripada senarai pemain yang dibawa ke Paroi.

“Zairul (Fitree Ishak) mengalami sakit mata sejak seminggu yang lalu. Dia sudah lama tidak turun menjalani latihan. Jadi, dia pasti tidak akan bersama pasukan Kelantan pada perlawanan itu,” katanya.

Manakala dua lagi pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid juga berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan tetapi tidak begitu membimbangkan.

“Hairuddin Omar akan menjalani penggantungan terakhir pada perlawanan ini, jadi pilihan yang ada tentunya Akmal Rizal Rakhli, Mohd Nizab Ayub dan dan S Chanturu untuk berpasangan dengan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan Kelantan,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News