TERSUNGKUR kepada Red Giants dalam perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu, bukanlah bererti pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hasan terus kempunan dalam saingan Liga Super musim ini.
Malah, kecundang di gelanggang sendiri di hadapan ribuan penyokong setia, penyandang juara Piala Malaysia itu tidak sesekali patah semangat, malah ia dijadikan sebagai satu pengajaran berguna buat pasukan itu.
Wan Jamak berkata, kekalahan kepada Selangor yang lebih berpengalaman itu akan dijadikan perangsang dan pengalaman berguna untuk anak-anak buahnya dalam mengharungi perlawanan akan datang.
“Sungguhpun kami mengusai sebahagian besar perlawanan tetapi jelas pengalaman membezakan antara kami dengan para pemain Selangor.
“Bagaimanapun, saya bangga dengan aksi para pemain yang berjuang habis-habisan dan saya berharap agar semangat juang yang dipamerkan dapat ditampilkan dalam setiap perlawanan nanti,” katanya.
Pada perlawanan pembukaan Liga Super itu, Negeri Sembilan yang juga juara Piala Malaysia musim lalu tumpas biarpun berjaya mendahului Selangor pada babak pertama melalui tandukan Idris Karim minit ke-27.
Bagaimanapun, Selangor bangkit menerusi Mohd Safee Sali yang menjaringkan gol penyamaan Selangor pada minit ke-76 selepas menolak hantaran D Surenderan sebelum R Surenderan memusnah impian skuad Negeri Sembilan ketika permainan berbaki tiga minit.
“Saya mahu para pemain melupakan kekecewaan ini dan berusaha lebih keras lagi untuk membaiki setiap kelemahan pada perlawanan seterusnya,” tambahnya.
Tags: Johor FC, Liga Malaysia, Liga Super, Negeri Sembilan, Pasir Gudang, Prebiu