Terengganu Ujian sebenar Singa Utara
SELEPAS mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Perlis, skuad Singa Utara itu telah memenangi dua perlawanan berturut-turut, namun malam ini ujian sebenar menanti pasukan bimbingan Yunus Alif apabila berdepan Terengganu malam ini.
Dalam dua perlawanan terdahulu Perlis menewaskan KL Plus 2-1 di tempat lawan sebelum menumbangkan pasukan Tok Gajah 4-0 di Kangar, Selasa lepas.
Namun berdepan Terengganu yang kini menduduki tangga kedua Liga Super pastinya bukan suatu tugas mudah buat anak buah Yunus Alif, apatah dilihat kejayaan skuad Penyu menumbangkan Johor 6-3 empat hari lalu.
Watak yang perlu diberi perhatian pasukan Singa tentunya Mohd Ashaari Shamsuddin yang menjaringkan empat gol dalam aksi menentang Johor.
“Ashaari adalah seorang penjaring, tetapi dia gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan terdahulu.
“Kali ini, sentuhan pemain itu telah menjadi dan dia telah tunjukkan belangnya. Apa yang penting, kebangkitan yang dipamerkan Ashaari ini tiba tepat pada masanya,” kata jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengulas mengenai penjaring terbanyak gol terbanyak Liga Super ketika ini.
Cuma sedikit memberi kelegaan kepada Perlis ialah kerapuhan benteng Terengganu yang membenarkan Johor menjaringkan tiga gol dalam perlawanan berkenaan.
Tentunya ia memberi petanda penyerang Singa Utara mampu berbuat sesuatu untuk mencuri mata di Kuala Terengganu malam ini.
Tags: Liga Super, Perlis, Prebiu, Terengganu