Wednesday, 16/07/2014


Trio penyerang taruhan T-Team

Published on September 17, 2010 by   ·   No Comments

SELEPAS dijinakkan Selangor dengan kekalahan 1-3 pada aksi pembukaan Kumpulan D pada Selasa lalu, T-Team kini melaungkan keyakinan dan mahu menjadikan Perlis sebagai mangsa pertama pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Keyakinan itu disuarakan sendiri ketua jurulatihnya, Che Ku Marzuki Mohd. Nor yang percaya dengan kemampuan anak buahnya untuk menewaskan Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Malah, Che Ku Marzuki mengakui hanya kemenangan yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan berstatus kelab itu dalam misi memburu tiket ke slot kalah mati.

Justeru, pengendali T-Team itu secara terbuka mengakui mereka akan mempamerkan corak permainan menyerang sepanjang 90 minit permainan dengan mempertaruhkan tiga rangkaian penyerang.

“Tiada cara lain untuk kita pergi jauh dalam kejohanan ini melainkan dengan meraih kemenangan. Kami perlukan kemenangan dan kemenangan pada perlawanan malam esok (malam ini) begitu penting.

“Jadi, kami perlu lakukan sesuatu dan mungkin kami akan melakukan serangan sepanjang perlawanan menerusi tiga penyerang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebagai pertaruhan, Che Ku Marzuki yang berjaya membawa T-Team melangkah ke Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah bakal membariskan tiga penyerang terdiri daripada Haris Safwan Kamal, Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Shahril Zakaria.

“Haris dan Hadi seperti biasa akan mengetuai jentera serangan dengan mendapat sokongan daripada Shahril,” jelasnya.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan T-Team, Amir Amiruddin Abdul Rashid percaya, kekalahan pasukan kelab itu kepada Selangor pada Selasa lalu bukanlah disebabkan kelemahan pasukan mereka.

“Kita mungkin kalah dari segi jaringan tetapi kita tidak kalah dari segi permainan. Secara keseluruhannya, pemain telah menunjukkan mutu permainan terbaik.

“Kita terpaksa bermain 10 orang sepanjang 70 minit perlawanan dan kita masih mampu menjaringkan gol. Ini membuktikan semangat tinggi yang ada pada semua pemain,” katanya.

Justeru kata Amir, dia mengharap agar aksi di Kuala Terengganu malam ini akan mendapat sokongan daripada ribuan penyokong Terengganu.

“Kita mengharapkan agar penyokong-penyokong Terengganu dan T-Team akan sama-sama berada di stadium untuk memberi sokongan kepada kami,” jelasnya. — KOSMO




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News