Krisis kewangan yang melanda Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tiba ke tahap paling kritikal apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan skuad warga kota itu mungkin akan dihalang menyertai Liga Malaysia musim depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui tiada apa yang boleh dilakukan oleh FAM jika Kuala Lumpur masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemainnya yang masuk tiga bulan.
“Saya ada berbincang dengan Datuk Astaman (Abdul Aziz) sebelum ini untuk cuba mendapatkan penajaan bagi mengatasi masalah kewangan KLFA.
“Selain itu, saya ada mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan baru-baru ini bagi membantu KLFA.
“Kita akan melihat perkara ini dan cuba menyelesaikan secepat mungkin tetapi jika isu tunggakan gaji tidak dapat dibereskan dan perbincangan tiada hasil, ada kemungkinan mereka tidak dapat bermain musim akan datang, ” tegas Hamidin di Wisma FAM, semalam.
Kuala Lumpur yang dibimbing Razip Ismail tersingkir ke Liga Perdana musim depan apabila menghuni tangga tercorot liga..
Pada majlis pemberian pingat, piala, hadiah wang tunai dan insentif Liga Malaysia 2012 itu, Kelantan muncul negeri terbesar penerima wang kemenangan dengan RM 1.07 juta secara keseluruhan selepas meraih RM 750,000 bagi juara Liga Super dan insentif sebanyak RM 325,024.
Tags: Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Liga Super