Pasukan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2011 dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Negeri Sembilan bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit dan muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah penyertaannya dalam kancah saingan Piala Malaysia.
Gol kemenangan Sang Rusa dijaringkan Hairuddin Omar pada minit ke-86 menerusi satu aksi akrobatik menarik dari dalam kotak penalti.
Ini merupakan gol di tahun ketiganya dalam pentas final Piala Malaysia di mana sebelum ini berjaya melakukannya bersama pasukan yang sama pada 2009 dan Kelantan pada 2010.
Terengganu lebih dahulu mendahului menerusi jaringan Ashaari Shamsudin pada minit ke-59.
Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-81 apabila penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee, gagal menangkap kemas bola sepakan S Kunalan yang melantun di depannya.
Tags: Final, Juara, Negeri Sembilan, Piala Malaysia, Terengganu