PERLIS berharap mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ketika membuat perhitungan menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di gelanggang lawan, malam ini selepas kehilangan dua tonggak akibat kecederaan dan penggantungan.
Dua tonggak terbabit ialah penggempur utama, Ahmad Fakri Saraani yang cedera ketika membantu pasukan mengikat Kedah 1-1, Selasa lalu manakala pemain sayap kanan, Mohd Shazwan Zainol terpaksa diketepikan gara-gara digantung satu perlawanan.
Ketua jurulatih, Yunus Alif berkata, skuad bimbingan B Sathianathan itu sudah pasti turun dengan semangat dan kesungguhan berganda bagi memburu kemenangan untuk mengutip mata penuh sekali gus menghambat pendahulu liga, Selangor.
“Biarpun tidak dapat menurunkan kedua-dua pemain itu tetapi saya yakin dengan keupayaan pemain lain untuk menggalas misi bagi memastikan pasukan tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Pengendali berpengalaman itu percaya anak buah Sathia sudah pasti turun dengan semangat berganda bagi memburu kemenangan sekali gus terus menghambat pendahulu liga, Selangor.
“Saya harap pemain tidak panik sebaliknya bermain mengikut perancangan yang sudah diatur. Saya percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk menumbangkan lawan di depan penyokong fanatik mereka,” katanya.
Tags: Kelantan, Liga Super, Perlis, Prebiu
kelantan menang harap jadi juara kalau buat malu org kel